Friday, January 21, 2011

Hasrat


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang.

"Abi..besar nanti ziyad nak jadi Ulama'.. boleh..?" Saya cuba fahamkan bahasa menangisnya.

"Allahuakbar.."

Mungkinkah persoalan ini akan timbul di benak fikiran putera sulungku?

Harapanku dan juga sayap kiriku yang bergelar isteri ini membulat harapan setingginya pada Rabbul Izzati hingga kini tidak pernah lekang dalam doa.

Ya Allah, jadikanlah anak kami ini kalangan anak-anak yang soleh.

Tuesday, January 18, 2011

Isu BKKIMM : Kajilah Dari Segenap Aspek



Muqa
ddimah


Firman Allah S.w.t : " Dan apabila datang kepada mereka suatu berita tentang keamanan ataupun ketakutan (baik atau buruk), mereka lalu menyiarkanya. Dan kalau mereka merujuk kepada Rasul dan ulil amri (ketua) di kalangan mereka nescaya hal itu dapat diketahui (diselesaikan) oleh orang-orang yang mampu mengambil keputusan berhubungnya (berita itu dari kalangan mereka". [An-Nisa' :83]

Al-Imam Syeikh Hassan Al-Banna menyebut : " Thiqah terhadap qiadah (kepimpinan), terlalu penting untuk kejayaan dakwah."

Pada awalnya saya memang kurang membaca blog enta As-Asyazuli. Tak perlu saya sebut nama. Tapi, semalam saya diberitahu oleh seorang rakan saya ada ahli DPMM tulis blog dan telah memberi beberapa pandangan terhadap Isu BKAN Melaka setelah berlangsungnya roadshow BKAN Melaka di Mansurah. Tidak mengapa, roadshow sudah pun selesai. Pandangan dan cadangan telah pun sama-sama kita luahkan di majlis tersebut walaupun masanya agak terhad.

Ringkasnya. Saya ingin menjelaskan kembali beberapa pandangan yang telah dijelaskan di blog As-Syazuli yang sedia maklum akan menjadi bacaan umum dan ianya amat merbahaya jika tidak dijawab balik. Apabila saya membaca blog AS-Syazuli ianya agak mirip beberapa blog tanah air di Malaysia umpama "kemucup" yang telah mendedahkan masalah dalaman PAS sendiri.

Isu PAS

"Pada hemat saya, tak kisahlah lepas pernggabungan tersebut nama PAS ditukar jadi UMNO dan lain-lain yang penting dasar, undang-undang tubuh serta pemimpin tertinggi yang dilantik mesti dari kalangan ulama' PAS. "

Jawapan saya berdasarkan sisipan di atas, As-Syazuli mudah betul memberi pandangan "tak kisahlah...". Untuk pengetahuan saudara penubuhan Parti Islam se-Malaysia PAS ini bukanlah satu tempoh yang pendek. Ianya memakan masa yang lama dan banyak pengalaman jatuh bagun.

Jadi, sebagai sebuah oraganisasi Parti sebesar itu pastinya sesuatu perkara yang ingin diputuskan mempunyai perbincangan yang sangat konkrit. Bukan main hentam dan ikut kepala sendiri. Peringkat pimpinan mempunyai pandangan dan selayaknya memutus sesuatu keputusan dan anggota parti mempunyai hak untuk memberi pandangan.

Hasilnya ada keputusan, tidak bersetuju dijadikan kerajaan PERPADUAN atas dasar pengalaman UMNO telah mengkambing hitamkan PAS sebelum ini. Ada pro dan kontra terhadap perbincangan tersebut. Tetapi keputusannya telahpun diputuskan. Selesai. Ijtihad syura lebih diberi keutamaan.

Isu BKKIMM

"Seandainya pegawai menerima cadangan kita IMAM perlu ditubuhkan mengikut undang-undang tubuh serta dasar BKKIMM kenapa kita mati-matian melawan"


Sama juga BKAN Melaka juga merupakan sebuah organisasi sah dan sekian lama beroperasi. Mereka juga telah membincangkan secara lumat perkara ini. Bukan main ANDAI-ANDAI lagi. Segalanya jelas terang lagi bersuluh. Mereka sangat memahaminya.

Saya cadangkan perkara yang masih "syubhah"..baik kita ambil jawapan yang jelas. Pandangan ANDAI-ANDAI ni tak perlu tulis dalam blog. Boleh memeningkan ahli yang pemikirannya atas pagar, lurus bendul dan kurang jelas isu sebenar ( tak datang program roadshow). Ianya tidak kurang hanya menimbulkan keadaan kelam kabut.

Jelas mereka sendiri tidak impikan NAMA. Pengalaman kita boleh ambil isu BKAN selangor BKSAM. Sahabat dari Perubatan sendiri telah menyebutkannya sewaktu program roadshow baru-baru ini. Sejarah penubuhan BAS oleh pegawai Selangor yang diarah khas oleh kerajaan UMNO sebelum ini terbukti telah menimbulkan permasalah yang sangat besar terhadap mahasiswa bukan sahaja dari Selangor sahaja bahkan mahasiswa Malaysia seluruh Mesir.

Janganlah kita menanti sesuatu permasalah itu terkena atas batang hidung kita. Maka ketika itu barulah kita akan memberontok tak tentu hala. Boleh tak seketika kita cuba ambil isu BKAN Melaka dan letak atas batang hidung kita sekejap. Apa akan jadi? Takkanlah nak tunggu terhantuk baru nak tergadah!

Penasihat

"Tak kurang juga ada yang mengunakan fasik, munafik, dan lain-lain. Nasihat daripada saya tak perlulah tuduh orang fasik, munafik dan lain-lain sebab kita tak layak menghukum orang kita pun tak tahu mana tempat kita di akhirat kelak syurga/neraka. Takut kita cakap orang begitu, tapi disisi Allah kita tergolong dalam golongan fasik dan munafiq. - nabi tak ajar cakap macam ini-"


Saya harap As-Syazuli tidaklah mejadi penasihat diruangan blog terbuka di sini. Saya cadangakan As-Syazuli sila berjumpa dan bagi teguran kepada pihak terbabit. Sebab berdasarkan penulisan tersebut boleh membuatkan pembaca salah faham. Sedangkan As-Syazuli boleh terus berhujan pada hari roadshow tersebut. kenapa diam? Jangan jadikan alasan masa terhad untuk kita melemparkan hujah di sini. Moga Allah jauhkan kita dari sifat ujub.

Telitilah dalam menyuarakan pandangan

"Pada hemat saya, seandainya perkara ini boleh diselesaikan secara baik tanpa perlu bertempur dengan mana-mana pihak ianya akan memberikan kebaikan kepada semua pihak. Kalaulah penubuhan IMAM boleh kita sifatkan sebagai satu penjenamaan baru kenapa kita mesti tolak? Seandainya pegawai menerima cadangan kita IMAM perlu ditubuhkan mengikut undang-undang tubuh serta dasar BKKIMM kenapa kita mati-matian melawan. "


Idea ini sememangnya nampak baik. Tetapi As-Syazuli perlu cermat dalam pertimbangan sebelum melontarkan pandangan terutamanya di ruangan terbuka sebegini. Kita nampak seolah-olah cadangan ini membawa kebaikan kepada dua-dua belah pihak. Jika kita membuat pengamatan dari sudut politik sebenarnya salah satu daripada keduanya akan terkorban.

Seperti yang saya katakan sebelum ini. Lihat saja sejarah BKSAM yang terkubur begitu sahaja dek kerana penubuhan BAS yang kononnya punya dasar dan matlamat yang sama. Mereka hanya ingin memperkudakan mahasiswa yang boleh ikut telunjuk mereka untuk meraih pengaruh dan sokongan daripada ahli-ahli yang lain.

Kita sepatutnya mengambil contoh daripada apa yang dipraktikkan oleh Imam Abu Hanifah. Ketika beliau dilantik menjadi qadi beliau menolak jawatan tersebut. Mengapa? sedangkan perlantikan tersebut tidaklah bercanggah dengan syara' dan ia boleh dijadikan platform untuk menyebarkan ilmu dan dakwah.

Namun beliau sebenarnya mempunyai pengamatan yang dalam dan cermat sebelum membuat keputusan. Menurut bacaan politiknya jawatan yang ditawarkan itu hanyalah satu percaturan politik Abu Ja'far Al-Mansur yang mahu mempergunakan pengaruh Imam Abu Hanifah bagi meraih sokongan rakyat. Beliau dilantik hanya untuk diperkudakan. Jadi jika Imam Abu Hanifah menerima jawatan tersebut bermakna beliau telah menjatuhkan kemuliaan institusi Ulama' kerana bersekongkol dengan pemerintah zalim.

Kesimpulan

Jadi..sebagai Mahasiswa yang celik kita sepatutnya tidak mudah ditipu dengan rencana sebegini. Kajilah dari segenap aspek sebelum melontarkan pandangan dan menyetujui sesuatu perkara.

Wallahua'lam.

Monday, January 17, 2011

Dun Tenang : Muslimat Boleh!

LABIS, 17 Jan: Dewan Muslimat PAS Pusat berharap pengundi dalam Dun Tenang menjadikan pilihan raya kecil (PRK) pada 30 Januari ini sebagai antara langkah menilai khidmat berbeza Justify Fullwakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) selama ini.

Ketuanya, Ustazah Nuridah Salleh berkata, lihatlah bagaimana Kerajaan Kelantan sudah berjaya ditadbir dengan baik sejak 20 tahun lalu corak pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, pengundi Tenang boleh melihat dengan lebih dekat lagi berdasarkan bagaimana kelainan perkhidmatan yang ditunjukkan oleh enam wakil rakyat PR dalam Dun Johor sejak Mac 2008.

Daripada enam wakil PR itu, dua darinya adalah dari PAS iaitu Dr Mohamad Taslim di Dun Maharani dan Dr Sheikh Ibrahim Sheikh Salleh (Sungai Abong) sekaligus membuktikan rakyat di Johor juga mampu membuat perubahan ke arah terbaik.

"Setelah melihat perbezaan ketara bagaimana kejayaan PR memerintah empat negeri dan peranan mereka di Dun Johor, menjadi kewajipan untuk pengundi di Dun Tenang khususnya bijak merebut peluang terbuka luas memilih calon PR dalam PRK 30 Januari ini," tegasnya.

Pengundi dan rakyat yang berada di dalam Dun Tenang ini, jelasnya, akan merasakan khidmat bakti yang bakal ditunjukkan oleh Cikgu Normala Sudirman yang selama ini memang sudah sering bersama rakyat setempat.

Jawatan yang diamanahkan kepada beliau sebagai Penyelia Pusat Aduan Rakyat Dun Tenang yang berpejabat di sini, memang mendedahkan beliau dan orang ramai demi memudahkan urusan kebajikan diuruskan dengan sebaik-baiknya.

Ketika diminta komennya bila calon Muslimat dipilih kali ini, Ustazah Nuridah mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT kasih khususnya kepada pimpinan PAS dan PR amnya kerana memberikan laluan kepada calon Muslimat bertanding di Tenang.

Justeru, tegasnya, pimpinan Muslimat di semua peringkat dan Wanita PR akan berusaha bersungguh-sungguh dalam usaha memenangkan calon penegak kebenaran dalam PRK kali 14 selepas PRU 12 pada 2008 lalu.

"Kami merancang untuk turun ke semua tempat dan bertemu dengan setiap pengundi di Dun Tenang bagi menyampaikan hasrat murni PR untuk memberikan khidmat serta kebajikan rakyat," jelasnya.

Ustazah Nuridah akui mengetahui penglibatan Cikgu Mala dengan PAS sejak zaman belajar lagi di bawah kepimpinan Dr Rosni Adam yang ketika itu bekerja di Johor pertengahan 1990an.

Tambahnya, di sinilah terbukti kesungguhan calon PAS ini kerana berusaha mendekatkan diri dengan jamaah seterusnya dipercayai sebagai Setiausaha Dewan Muslimat Kawasan Labis, seingatnya ketika Dr Rosni sebagai Ketua Muslimat Labis pertama.

Setelah itu, mereka sering bertemu di dalam banyak program parti sementelahan jawatan yang dipegang masing-masing menyebabkan hubungan mereka menjadi semakin akrab.

Sejak dua tahun terakhir ini, bila Cikgu Mala dilantik menjadi Exco Dewan Muslimat PAS Pusat selaku Pengerusi Lajnah Pendidikan dewan itu, mereka memang kerap bertemu.

Ekoran mengenali beliau dengan rapat, Ustazah Nuridah berani mengatakan, Cikgu Mala mempunyai perawakan menarik sebagai seorang yang bekerja keras demi mencapai cita-cita besarnya.

Dalam hal ini, kesungguhan beliau terbukti kerana mempunyai persiapan lengkap untuk mencapai kemenangan di dalam pilihan raya umum ke 13 nanti yang dijangka pertengahan 2011.

Malah segala persiapan ini mula digerakkannya bukan selepas kematian Adun BN tetapi jauh lebih awal daripada tarikh itu; sepatah kata Presiden, 'parti yang meminta Cikgu Normala menjadi calon dalam PRK ini'.

Ustazah Nuridah turut berada dalam majlis pengumuman calon PR yang dilakukan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dataran Wayang Pacak, dekat sini malam tadi.



"Saya sendiri terperanjat sebaik sampai di Pekan Labis ini, kerana Cikgu Mala sudah bersiap untuk menghadapi PRU 13 dengan menyewa dua lot bangunan kedai.

"Perancangan ini dilakukannya dengan pejabat Dewan Muslimat di sebelahnya dengan hasrat untuk membuka kelas tusyen kepada pelajar-pelajar sekolah yang memerlukannya.

"Inilah perancangan dan ketetapan Allah SWT di mana sebelum datang PRU 13, berkunjung dulu PRK ke 14 selepas PRU 12 pada 2008 lalu," jelasnya lagi.

Selain itu, Ustazah Nuridah menyebutkan lagi antara kelebihan yang dimiliki Cikgu Mala adalah keterlibatan dengan berbagai golongan masyarakat termasuk PIBG dan Persatuan Puteri Islam.

Hasilnya, beliau telah mendapat anugerah Guru Cemerlang Daerah dan kerana itu juga, selain sebagai anak tempatan, beliau mengenali ibu bapa dan guru di merata tempat.

Orang ramai tertarik dengan stail beliau bercakap kerana memang terlatih sebagai trainer dan pemidato yang sering mengikuti program profesional itu sehingga ke Sabah.

Ustazah Nuridah bercakap berkongsi pengalaman beliau kepada Harakahdaily ketika bersama-sama dengan Cikgu Mala melawat Pasar Awam Pekan Labis, pagi tadi.

Sebelum rombongan yang turut disertai Wanita PR antaranya Ketua Wanita DAP, Chong Eng turut melawat kedai kopi, Pasar Tani Pekan Labis dan bertemu dengan masyarakat Cina di seputar lokasi berkaitan.

Nampak dengan jelas penerimaan anggota masyarakat terhadap kehadiran Cikgu Mala yang langsung tidak kekok dan terus beramah mesra dengan semua lapisan rakyat.

Kekuatan pengaruh Cikgu Mala, jelas Ustazah Nuridah terbukti kuat, bila mana arahan pihak Pelajaran Johor memindahkan tempat kerja suami calon, Cikgu Makrof Abdul Mutalib ke Johor Bharu ditarik balik.

Tiada alasan yang diberikan ekoran khabar angin kencang menyatakan isterinya bakal dipilih sebagai calon PAS dalam PRK Dun Tenang, suaminya dikatakan aktif berjamaah sejak di kampus UM lagi.

Ekoran bantahan banyak pihak termasuk hasrat mengadakan sidang media mengenai isu berkaitan serta daripada pengaruh Cikgu Mala sendiri yang banyak terlibat dalam persatuan guru, memo pindah 24 jam itu ditarik balik.

Berdasarkan peristiwa ini, Ustazah Nuridah menegaskan, inilah antara satu petanda Cikgu Mala mempunyai merit besar untuk berjaya mewakili rakyat terbanyak di Dun Tenang kali ini.

Ketua Muslimat PAS ini meletakkan harapan tinggi kepada pengundi di Tenang ini agar dapat memberikan undi mereka kepada calon PR pada 30 Januari ini.

Menurutnya, tiada siapa yang akan rugi meskipun mereka masih sayang pada Umno kerana satu Dun itu jika terlepas dari BN, ia tidak menjejaskan kedudukan BN memerintah Johor.

Sebaliknya, tegas Ustazah Nuridah, jika PR berjaya memenangi PRK kali ini, semua rakyat termasuk pengundi di Dun Tenang akan dapat merasai kelainan dan beza perkhidmatan berbanding BN selama ini.

"Kami amat berharap semua pengundi di Tenang ini akan memberikan sokongan padu mereka kepada PR, jangan takut untuk berubah demi kebaikan dan menerima tawaran khidmat kami untuk rakyat demi sebuah kebenaran.

Sunday, January 9, 2011

Faktor Kelemahan Jiwa


Salah sebuah buku yang saya baca dan rasa teringin untuk dikongsikan. Tajuk buku ini adalah "dhohirah ad-dho'fi nasfi". kalau diterjemahkan ianya bermaksud fenomena kelemahan jiwa karangan Syeikh Dr Majdi Hilali.

Di dalam buku ini telah diterangkan kepada kita contoh-contoh kelamahan jiwa dan cara mengubatinya. Mungkin saya akan kongsikan sedikit demi sedikit agar saya sendiri sentiasa membaca dan menelitinya. Tazkirah diri dan perkongsian.

Betul la kata rakan saya, time imtihan ni la memang sedap betul membaca bacaan luar dan mendengar ceramah-ceramah setelah kepenatan study. Sebabnya kita memang tidak ke mana-mana dan tidak diganggu dengan tugasan luar.

Baiklah saya mulakan.

Di dalam muqoddimah telah diterangkan sedikit syarahan awal berkisar rujukan syeikh di dalam kitab Al-Akhlak Al Islamiyyah wa assasuha.

Antara contoh kelemahan jiwa, iaitu seseorang yang suka menceritakan tentang diri sendiri di hadapan khalayak ramai perihal kemuliaan diri, tidak jemu menyebut-nyebut tentang ketokohan dan kehebatan serta segala pencapaian yang telah lampau, kekuasaan, keturunan, anak-anak, harta benda dan segala bentuk kebangaan.

Sebaliknya kita lihat, mereka sangat takut untuk mengetahui atau mempelajari dan memahami sesuatu. Sentiasa berhati-hati agar tidak melakukan kesilapan di hadapan orang lain. Ketika diminta untuk melakukakn sesuatu yang diluar kemampuanya, dia tidak sekali-kali akan mengatakan bahawa dia tidak mampu agar tidak menampakkan kelemahan dirinya. Apabila diajukan persoalan tentang agama, ia akan menjawabnya, meskipun tanpa pengetahuan untuk mengelakkan diri dari dianggap tidak tahu atau seolah-olah dia berhajat kepada sesuatu maklumat dan sebagainya yang boleh mengurangkan kewibawaanya.

Dari contoh-contoh tersebut, jelaslah kepada kita bahawa mereka yang berperibadi sedemikian tidak mahu melihat orang lain mengatasinya sedangkan itu semua adalah suatu yang di luar kemungkinan. Dia akan menggunakan pelbagai cara untuk menyembunyikan kelebihan orang lain dengan menyebut kelemahan mereka dan mendakwa bahawa dirinya lebih mulia daripada orang lain.
1- Taasub dengan pandangan peribadi.

Mereka yang tergolong dalam kategori ini sentiasa merasa taasub dengan pandangan peribadi, tak kira samada benar mahupun sebaliknya. Apabila pendapatnya disanggah maka dia akan mempertahankanya dan tidak merasa tenteram sehinggalah orang yang menyanggahinya akur dan tunduk kepadanya.
2- Tidak mahu mengaku kesilapan diri sendiri.

Mereka ini terlalu sukar untuk mengakui kelemahan dirinya. Melakukan apa sahaja untuk mengelakkan diri dari melakukan kesilapan dan adakalanya memaksa diri sendiri melakukan pendustaan agar tidak dianggap oleh orang lain dia telah melakukakn kesilapan.

3- Merasa sempit dada bila dikritik dan dinasihati.

Merasakan kepahitan dan kesakitan yang teramat sangat apabila dikritik dan diberi nasihat. Adakalanya jika dibelenggu oleh perasaan yang terlalu menghimpit dia akan merasakan seolah-olah dunia ini miliknya. Lebih-lebih lagi jika orang yang memberi nasihat tersebut lebih muda daripadanya. Keadaan ini berlaku lantaran diheret oleh runtunan perasaan yang menyebabkan api kemarahan.
4- Bahagia dan seronok dengan pujian.

Pengidap penyakit ini terlalu ramai, mereka merasa terlalu sukacita dan seronok bila mendapat pujian khususnya jika orang yang memuji itu memiliki kedudukan dan pangkat. Dia akan sentiasa mengulangi pujian tersebut dan membuat sesusatu agar menusia sentiasa menyebut-nyebut tentang kebaikanya dan kejayaannya.

5- Gembira dan seronok apabila mendapat perhatian.

Contohnya, ketika memberi pertolongan kepada golongan miskin dan mereka yang berada di dalam kesusahan atau ketika menjawab soalan. dan ketika melakukan ketaatan kepada Allah dan lain-lain lagi. Sebaliknya kita dapati dia akan bermasam muka ketika manusia lain memandang rendah pada ketika dia memang selayaknya mendapat kejian. Keadaan ini boleh berlaku ketika ia melakukan maksiat atau perkara syubhah dan melakukan kesilapan dalam perkerjaan atau tidak mampu menjawab pertanyaan orang.
6- Gila kuasa, ghairah untuk menonjolkan diri dan mahu sentiasa dipilih.

Golongan ini biasanya berasa gah dengan tanggunjawab dan sentiasa bergelut untuk merebut suatu jawatan dengan apa cara sekalipun. Masakan tidak? ini semua adalah jalan untuk kemegahan dan meraih pangkat serta memikat hati manusia agar mereka sentiasa mengagungkannya dan megikut pandanganya.

Ada ketika syaitan cuba menggodanya untuk melakukan suatu tugas dan amanah serta membisikkan bahawa khidmatnya itu adlaah untuk Islam. Sedangkan itu semua adalah kemaslahatan dirinya semata-mata. Seolah-olah tidak terlaksana khidmat Islami jika tidak melantik dirinya sebagai pemimpin atau pengarah. Oleh kerana itu kita mendapati orang yang berpenyakit seperti ini sentiasa menantikan perbualan telefon atau temu janji yang berkaitan dengan tugas. Apabila disisihkan maka dia akan diselubungi rasa sedih dan merasa sempit dada. Bahkan memburuk-burukkan orang yang menyisihnya serta meletakkan kesalahan kepada orang lain dan menghebahkan di kalangan orang ramai.

Sebaliknya jika beliau terpilih untuk mentadbir suatu tugas, nescaya orang bawahanya akan menerima kecelakaan. Sergahan, kekasaran dan tempelakan merupakan tabiat dan kebiasaan. Terlalu memperhintungkan perkara remeh temeh atau perkara besar tanpa belas kasiahan. Selalu menherdik, bertindak kasar, menghina, mempersenda, dan menunding kesalahan kepada orang lain.

Kita juga mendapati dia banyak membicarakan tentang bebanan tugas dan besarnya tanggungjawab yang dipikul. Sebaliknya dia sentiasa cuba bersikap lepas tangan terhadap tugasnya kecuali dalam keadaan terdesak.

Apabila berada di dalam sesebuah pentadbiran, mereka sentiasa menyusakan orang lain dan tidak mudah tunduk. Merasakan dirinya sahaja yang sentiasa layak menegur orang atasan. Seringkali cuba berlepas diri bila berlaku sesuatu percanggahan.

8- Tidak menagkui kesilapan dan kekurangan diri.

Orang berkenaan sentiasa ingin lari daripada menginagti kepincangan diri dan cuba menyembunyikanya, agar orang lain akan menganggap bahawa dia tidak pernah melakukan sebarang kesilapan atau meskipun ada tetapi terlalu sedikit. Untuk itu ia sentiasa berusaha agar apa sahaja yang berlaku dia masa lalu tidak lagi diingati, sekalipun ianya memang benar kesilapanya.
9- Tidak menunaikan hak orang lain.

Sentiasa merasa berat ketika melakasanakan hak orang lain seperti menziarahi orang sakit, melepaskan kesusahan orang lain, menolong orang dizalimi, menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan dan sebagainya. Sebaliknya jika ia ditimpa sakit contohnya maka dia mestilah diziarahi, sekiranya orang lain tidak terdaya melaksanakan hak ziarah tersebut kerana urusan tertentu sudah pasti ia akan mengambil kira dan mencelanya.

10- Mengungkit-ngungkit segala khidamat bakti dan amal kebaikan.

Orang sebegini tidak jemu-jemu menyebut segala sumbangan dan khidmat bakti yang telah dihulurkan dan sentiasa mengharapkan ucapan terima kasih dan penghargaan dari sesiapa yang telah mendapat khidmatnya.
11- Terpedaya dengan kebolehan dan kelebihan sendiri.

Mereka ini tidak menyandarkan kelebihan dan kenikmatan yang dikecapi kepada Allah. Sebaliknya menyandarkanya ke atas diri sendiri semata-mata. Baginya dialah yang sahaja yang selayak mendapat kebaikan, orang lain tidak layak, " kenapa tidak?!! sedangkan dialah yang mempunyai kebijaksanaan, akal yang tajam, keinginan tinggi, kecergasan yang berterusan, peka dalam menhuraikan peristiwa berupaya mengitistinbat hukum, kuat ingatan, banyak menghafal Al-Quran, serta teliti dari sudut pembacaannya, sentiasa bagun malam berpuasa sunat, banyak merujuk kitab mengenali ramai ulama', pendakwah yang berpengaruh, memiliki uslub yang istimewa dalam menarik orang.

Sebagai contohnya seperti dakwan Qarun :

Qorun berkata : " Aku memperoleh harta benda adalah dengan ilmu pengetahuan aku sendiri".

12- Tidak suka orang lain memperolehi kebaikan.

Berasa sedih dan sempit dada apabila sahabatnya mendapat nikmat dan mengharapkan nikmat tersebut tidak kekal. Sebaliknya seronok dan gembira apabila sahabatnya ditimpa musibah.

13- Merasakan dirinya sahaja yang berhak untuk bercakap di dalam mana-mana majlis yang dihadiri.
Anda melihat mereka yang terdiri dari golongan ini sering memintas percakapan orang lain, menjawab apa sahaja yang diperkatakan suka memperkatakan tentang perihal diri sendiri, kisah kehidupanya meninggi diri dengan tujuan berbangga dengan pencapaian sendiri dan kehandalan.

14- Menghebahkan kebajikan sendiri.

Apabila taufiq daripada Allah untuk melakukan amal kebajikan atau amalan yang menghampirkan diri kepada Allah (taqarrub) dan meninggalkan perkara mungkar dia akan menghebahkan segala amalan yang telah dilakukan samada secara sinis ataupun terang. Berusaha untuk menyandarkan segala yang dilakukan adalah hasil dari usahanya sendiri, bukan hasil usaha orang lain. Golongan ini amat marah apabila hasil kerja dan kebajikannya disandarkan kepada orang lain dan jiwanya menjadi tidak tenteram. Sebaliknya jika disandarkan amal orang lain kepadanya amak dia tidak akan melakukajn sesuatu untuk menyatakan hakikat sebanarnya.
15- Sentiasa takutkan kemiskinan.

Inijuga merupakansalah satu daripada contoh kelemahan jiwa yang terdapat pada sesetangah orang. Terlalu bakhil, takut ditimpa kemiskinan. Jiwanya sentiasa ketakutan untuk menghdapi hari-hari mendatang yang belum pasti. Ini semua menjadikannya tidak mahu menyumbang khidmat bakti di jalan Allah dan membantu orang yang memerlukan.

16- Tidak mampu untuk berhadapan dengan orang lain kerana merasa lemah diri.

Tidak terdaya menerima hakikat kesalahn diri sendiri dan cuba lari daripadanya. Jika orang lain menjelaskan kesalahannya dia sanggup berdusta untuk membebaskan diri dari dakwaan yang diajukan kepadnya.
17- Mudah berubah pendapat dan goyah pendirian.

Apa yang menyedihkan ialah dia telah tewas di hadapan orang lain dan diri sendiri tanpa disedari. Dia seringakali mempunyai pandangan yang berbeza dengan orang lain, tetapi tidak berani menyatakan kerana takut celaan, dipersendakan dan seterusnya tewas di hadapan mereka.

Sunday, January 2, 2011

Munajat Perdana : Mari Taubat




Dengarlah hai sobat
Saat kau maksiat
Dan kau bayangkan ajal mendekat
Apa kan kau buat
Kau takkan selamat
Pasti dirimu habis dan tamat

Bukan ku sok taat
Sebelum terlambat
Ayo sama-sama kita taubat
Dunia sesaat
Awas kau tersesat
Ingatlah masih ada akhirat

Astafighrullahal’adzim

Reff:
Ingat mati, ingat sakit
Ingatlah saat kau sulit
Ingat ingat hidup cuman satu kali

Berapa dosa kau buat
Berapa kali maksiat
Ingat ingat sobat ingatlah akhirat

Cepat ucap astafighrullahal’adzim

Pandanglah ke sana
Lihat yang di sana
Mereka yang terbaring di tanah
Bukankah mereka
Pernah hidup juga
Kita pun kan menyusul mereka

Astafighrullahal’adzim

Repeat Reff

Cepat ucap astafighrullahal’adzim

Repeat Reff

Cepat ucap astafighrullahal’adzim
Cepat ucap astafighrullahal’adzim

Tambahan : Masa ni saya Us Adham dan Us Asri kami bersama-sama fikirkan masalah ummah. Dan kami merancang untuk menjemput Wali band ke Mansurah. Mudah-mudahan hasrat ini berjaya dan dapat menyelesaikan masalah sosial di Mansurah ini.

Islam For All

Saturday, January 1, 2011

Intipati Ucapan Presiden PAS Sempena Konvensyen Pakatan Rakyat Ke- 2


MUKADDIMAH

Yang Dihormati Saudara Pengerusi, YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim – Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), YAB Saudara Lim Guan Eng – Setiausaha Agung DAP – Ketua Menteri Pulau Pinang, Yang Dihormati Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail – Presiden PKR, Seluruh Anggota Kepimpinan PAS – PKR – DAP, YAB Menteri Besar Kelantan – Kedah – Selangor, NGO, para tetamu dalam dan luar negara, Wakil-wakil Kedutaan Asing, Ahli-ahli Yang Berhormat serta seluruh perwakilan dan pemerhati sekalian.

Kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana kita sekali lagi berada dalam kesempatan yang sangat bermakna di penghujung tahun 2010, setelah setahun lalu kita sama-sama melakarkan sejarah dengan mengadakan Konvensyen Pakatan Rakyat yang pertama di Shah Alam pada bulan Disember 2009.

Tentunya Konvensyen Pakatan Rakyat kali kedua ini pula akan menjadi medan kita bermuhasabah, menilai keperluan, menanda aras pencapaian dan menambahbaik tindakan, setelah kita diberikan amanah menguruskan kerajaan di empat buah negeri dan seterusnya memimpin rakyat untuk membuat perubahan di negeri-negeri yang lain, insyaAllah.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

KETETAPAN KONVENSYEN PERTAMA

Setahun yang lalu, kita telah sama-sama menerokai dasar bersama yang dipersetujui, dengan rangka matlamat melaksanakan muafakat yang sangat bermakna dalam negara kita ini bagi membebaskan negara dari kemelut yang sangat menekan rakyat dan penuh dengan penyakit di segenap sudut, seterusnya membentuk gagasan alternatif terbaik untuk negara.

Maka kita telah mencorakkan dasar bersama yang penting di bawah Muafakat Rakyat iaitu untuk (1) Mengembalikan demokrasi telus dan tulen, (2) Memacu Ekonomi Berprestasi Tinggi, Mapan dan Adil, (3) Keadilan Sosial dan Pembangunan Insan dan (4) Hubungan Persekutuan-Negeri dan Dasar Luar Negara.

Semua dasar bersama ini akan terus dilaksanakan selari dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, yang merupakan suatu penzahiran cita-cita dan harapan rakyat Malaysia yang merdeka. Di dalamnya hak asasi setiap rakyat termasuk hak agama, bahasa, kerakyatan dan budaya dijamin sepenuhnya.

Dalam hal ini, PAS akan terus menjadi penjaga amanah bagi memperkasakan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, di mana perubahan kita adalah dalam ruang lingkup undang-undang negara dengan mengambilkira Islam sebagai agama rasmi negara, dengan meletakkan Islam berdasarkan kepada maknanya yang sebenar. Dalam masa yang sama agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana sahaja di negara kita ini.

PAS percaya bahawa kekeliruan terhadap Islam yang adil yang ingin dibawa oleh PAS berlaku kerana contoh dan tafsiran salah terhadap Islam yang ditunjukkan oleh UMNO selama ini, sehingga melahirkan pemimpin yang tidak amanah, dan berkuasa melalui rasuah serta penipuan.

PAS percaya bahawa keadilan sejagat Islam yang sememangnya bersesuaian dengan fitrah manusia boleh menjadi tiang seri yang mampu untuk menyatukan hati manusia. Kita mesti menyedari bahawa di sana ada perkara yang sama dan berbeza dalam kalangan manusia yang perlu diraikan. Islam mengiktiraf kewujudan pelbagai kaum, dan perpaduan itu mestilah berteraskan rasa saling hormat menghormati dan kenal mengenal di atas sifat kemanusiaan serta dilayan dengan adil, walaupun berbeza agama dan kaum.

Firman Allah SWT :

Maksudnya :

Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. [49:13]

Kita juga telah bersetuju untuk terus melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153, mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi raja berperlembagaan, memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, dan dalam masa yang sama melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum.

Seluruh ketetapan yang sama-sama kita lakarkan dalam konvensyen yang lalu, sebenarnya telah menjawab segala tohmahan jahat dari pihak musuh politik kita bahawa kononnya Pakatan Rakyat adalah golongan yang tidak memahami perlembagaan dan akan menjual rakyat dengan harga yang murah.

Hakikatnya, merekalah yang sebenarnya tidak menghormati tonggak demokrasi berparlimen, apabila dengan penuh keangkuhan telah menggunakan kuasa bagi menyingkirkan Ahli Parlimen kita dari Parlimen Malaysia. Apa yang berlaku hingga kini ialah, mereka takut untuk berhujah dan gagal memberikan apa-apa jawapan yang meyakinkan mengenai isu yang diperkatakan. Merekalah sebenarnya yang telah memberikan nama buruk negara ke persada dunia.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

PERSIDANGAN SHAH ALAM 2010

Selain dari itu, kita juga menjadikan persidangan yang dihadiri oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Agensi Kerajaan Negeri, semuanya dari Negeri Pakatan Rakyat pada 29 November lalu sebagai komitmen kita untuk menambahbaik aspek ekonomi, sosial, politik dan pentadbiran kerajaan yang kita pimpin.

Saya amat berharap agar segala buah fikiran dan perancangan yang begitu baik itu tidak menjadi bahan yang tinggal di atas kertas sahaja, tetapi diberikan kefahaman kepada pegawai pentadbiran kerajaan agar mereka memahami aspirasi kita dan seterusnya melaksanakannya.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

MASA BERGERAK KE DEPAN

Hari ini juga kita berhimpun, dengan penegasan yang lebih bermakna, bahawa kita ingin terus melakukan perubahan, di atas prinsip Tahalluf Siyasi, yang menggariskan prinsip kebersamaan kita dengan menekankan persamaan untuk memerangi kezaliman, ketidakadilan serta rasuah tanpa menafikan asas pembentukan negara Malaysia dan struktur masyarakatnya.

Pada hari ini juga kita menghasilkan satu dokumen kerja dan sasaran yang ingin kita capai dalam berbagai sudut. Cabaran terbesar kita nanti ialah bagaimana kita menterjemahkan perancangan ini ke dalam bentuk tindakan yang bukan sahaja difahami oleh pelaksana yang terdiri dari pegawai-pegawai kerajaan di bawah negeri Pakatan Rakyat, tetapi juga difahami oleh rakyat yang berada di bawah kerajaan Pakatan Rakyat khususnya, dan rakyat dalam negara kita ini umumnya. Rakyat lah nanti yang akan menjadi hakim di atas kesungguhan dan komitmen kita untuk melaksanakan perubahan. Jangan kita sekali-kali membiarkan rakyat menghukum kita dalam pilihanraya umum yang akan datang nanti.

Kita juga sedar dan insaf, bahawa perubahan menyeluruh yang diimpikan oleh gagasan Pakatan Rakyat tidaklah mudah dicapai, kerana kita berdepan dengan konsep federalisme sonsang yang dipegang oleh Kerajaan Pusat pimpinan Barisan Nasional, yang tidak lagi menghormati pilihan yang dibuat oleh rakyat dalam negeri yang telah memilih Pakatan Rakyat.

Selain dari itu, kita juga berdepan dengan kekangan pentadbiran yang sudah membarah selama puluhan tahun di bawah Kerajaan BN. Dalam masa yang sama, kita juga dibelenggu dengan kelemahan diri sendiri apabila ada di antara kita yang mula hilang tumpuan, setelah kita mula diserang dari segenap penjuru oleh kerajaan pimpinan Barisan Nasional ini. Kadangkala kita berhadapan dengan perbezaan pandangan dan pendekatan untuk menyelesaikan masalah, dan di sinilah cabaran terbesar kita yang perlu dirungkaikan supaya kita menjadi gagasan terbaik untuk negara ini.

Saya menyeru kepada semua para hadirin yang menjadi petugas kepada perubahan dalam negara kita ini, supaya kita tidak sekali-kali tersasar dari tujuan kita untuk melakukan perubahan menyeluruh yang bermakna kepada generasi yang akan datang.

Dengan perasaan penuh keikhlasan kita menyedari akan kelemahan-kelemahan ini, tetapi kita bukanlah seperti komponen musuh yang saling bercakaran sesama sendiri, lalu bertindak menyembunyikan masalah mereka sehingga ianya menjadi seperti ‘api dalam sekam’ yang menunggu masa untuk menjahanamkan negara kita yang tercinta ini. Inilah bezanya pakatan kita dengan mereka, di mana kita berani untuk berdepan, berbincang, berbahas, semuanya dalam semangat yang tulen bagi menyelesaikan sebarang masalah yang timbul dalam gagasan kita ini. Inilah yang ingin kita sampaikan kepada rakyat.

Perlu kita ingat, bahawa Pakatan kita ini bukan sahaja bergerak untuk menafikan kekebalan pemerintahan Barisan Nasional semata-mata, tetapi adalah untuk melaksanakan perubahan yang adil di mana keharmonian dan keupayaan masyarakat memahaminya di jadikan teras dalam perubahan dalam negara kita ini.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

PERLU MUHASABAH

Marilah sama-sama kita bermuhasabah akan pencapaian kita, setelah diberi tanggungjawab melaksanakan amanah pemerintahan di negeri-negeri Pakatan Rakyat, menilai dengan penuh kejujuran akan kelemahan dasar dan pelaksanaan, kita mencelikkan mata-telinga kita seluas-luasnya dan berlapang dada dengan kritikan rakyat, seterusnya melakukan rombakan pentadbiran dan perubahan menyeluruh apabila difikirkan perlu. Berdasarkan maklumat kelemahan kita ini, maka kita perlu bangkit kembali dengan terus melaksanakan penambahbaikan dalam pemerintahan kita dan memperkemaskan jentera parti di negeri-negeri yang belum bersama kita.

ASAS PERUBAHAN

PAS ingin menyatakan bahawa dasar yang ingin kita laksanakan dalam negeri di bawah Pakatan Rakyat perlulah bertitik tolak dari pemahaman bahawa (1) kita membaiki kerosakan yang ada dalam negara kita, (2) kita ingin meletakkan negara dan negeri di atas dasar yang sepatutnya, (3) semuanya dilaksanakan dengan semangat dalam perkara yang menjadi Dasar Bersama kita.

Tetapi kita tiada masa yang panjang untuk melakukan semua ini kerana musuh akan sentiasa mencari jalan untuk meruntuhkan negeri di bawah Pakatan Rakyat yang telah kita sama-sama bina. Negeri yang sama-sama kita bina ini pula tidak akan memberikan sebarang makna dalam politik baru negara kita, sekiranya kita gagal menunjukkan kaedah pemerintahan yang jauh lebih baik dari negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional.

Pemerintahan yang lebih baik yang ingin kita capai ialah bukan hanya berkaitan dengan pencapaian ekonomi semata-mata, dan juga bukan hanya mengenai dasar perindustrian serta pelaburan sahaja, kerana kita juga tidak mahu melahirkan masyarakat yang hanya melihat pembangunan material yang berselerakan di kiri kanan persekitaran mereka dan dalam masa yang sama jiwa mereka kosong sehingga melahirkan berbagai penyakit kemanusiaan dalam masyarakat kita ini.

Apa yang kita mahu, bahawa kita perlulah juga menumpukan kepada kesejahteraan spiritual dan akhlak serta pembangunan rohani, yang dihubungkan dengan pegangan agama yang mampu untuk memandu kehidupan rakyat di bawah jagaan kita. Indeks kesejahteraan yang ingin kita capai juga perlu mengambil kira persekitaran masyarakat beragama berbagai kaum dan fahaman yang wujud dalam negara kita ini, apatah lagi ianya mungkin berbeza dengan pentafsiran kesejahteraan di negara-negara lain. Kita inginkan kerukunan sebuah keluarga, yang mampu untuk berdepan dengan krisis moral dan akhlak yang semakin berleluasa di zaman yang serba moden ini.

Dalam melaksanakan dasar dalam negeri yang diperintah Pakatan Rakyat secara bersama, maka penting juga untuk kita berhati-hati dengan cuba lebih memahami betapa pentingnya bagi setiap parti untuk menguruskan sensitiviti masyarakat – tanpa perlu untuk kita menongkah kepercayaan agama dan budaya setiap kaum di negara ini. Jangan pula kita untung secupak tetapi rugi segantang dalam pertimbangan kita.

Kegagalan untuk memahami perkara asas ini akan membuka ruang kepada UMNO dan BN untuk menyebarkan dakyah mereka menerusi media massa yang dikawal oleh mereka. Kita akan berada dalam keadaan yang sangat ‘defensive’ untuk melawan kuasa media mereka yang akhirnya membuatkan rakyat terbanyak akan menjadi keliru. Akhirnya kita semua akan rugi.

Pendekatan bertahan ini perlulah diubah, dengan kita sendiri menentukan agenda kita bersama rakyat, dan bukan hanya responsif terhadap serangan musuh. Oleh yang demikian, sudah tiba masanya untuk kita memasuki fasa seterusnya dalam gerakerja kita, dengan kita menggunakan media kita sendiri yang boleh sampai kepada rakyat. Gerakerja ini perlulah disusun secara bersama di kalangan negeri Pakatan Rakyat, petugas parti dan semua kalangan pengamal media yang bersama dengan kita.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

PERSEDIAAN PILIHAN RAYA

Belum pun kita sempat melaksanakan amanah dengan sempurna, angin yang bertiup kencang di waktu ini telah memberi gambaran bahawa saat dan ketika untuk kita berdepan dengan Pilihanraya Umum ke-13 detiknya semakin hampir. Suasana sebegini dizahirkan oleh pimpinan utama BN bahawa mereka merasakan semakin selesa dan kononnya rakyat akan kembali bersama mereka.

Kepada mereka, marilah kita pertegaskan pada hari ini bahawa kita bukan sahaja komited untuk mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat di empat buah negeri ini, tetapi kita akan bangkit untuk merubah kedudukan percaturan politik yang menjadi dominasi Barisan Nasional selama ini, insyaAllah.

Kita juga mencabar pimpinan Barisan Nasional untuk berani turun ke gelanggang secara amanah dan jujur, tanpa bergantung kepada agensi dan institusi kerajaan, tidak memperkudakan media massa serta menaburkan janji kosong pilihanraya yang saban tahun menjadi rasuah mereka kepada rakyat. Marilah kita turun ke gelanggang secara penuh demokrasi, bukannya berpaut kepada demokrasi yang rosak.

Kepada saudara saudari yang hadir dalam konvensyen ini, ingatlah bahawa sekiranya kita ingin mencapai kejayaan yang lebih baik dari pilihan raya umum yang lalu, maka pada ketika dan saat ini kita perlu memperkemaskan jentera pilihan raya, mempersiapkan petugas, merangka strategi berkesan, membaiki kelemahan, dan seterusnya menampilkan calon yang amanah dan jujur kepada rakyat.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Akhirnya, saya ingin mengucapkan tahniah kepada seluruh jawatankuasa konvensyen, pimpinan Pakatan Rakyat, para perwakilan dan pemerhati, dan rakyat yang bersama kita di merata tempat, serta sekalung terimakasih kepada tuan rumah konvensyen yang menjayakan perhimpunan yang bersejarah ini.

Mudah-mudahan konvensyen kali kedua ini mampu untuk mencapai objektif yang dicita-citakan.

Wassalamualaikum wbr.



INTIPATI UCAPAN PRESIDEN PAS SEMPENA KONVENSYEN PAKATAN RAKYAT KE 2

  © Blogger template 'Solitude' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP