Sunday, September 25, 2011

Peranan Qiadah Dalam Harakah Islamiah


Peranan Qiadah di dalam gerakan Islam ialah membentuk anggota dan organisasi yang mantap dan mampu berjuang mencapai tujuan dan matlamat HARAKAH iaitu menegakkan agama Allah dan siasah-Nya dalam urusan-urusan keduniaan. Qiadah dalam gerakan Islam bukanlah bererti ia mengepalai sebuah organisasi untuk mengalahkan pihak oposisi semata-mata, sebaliknya golongan ini juga cuba untuk menarik dengan dakwah bil hikmah agar pihak yang menentang mereka turut bersama-sama memperjuangankan Islam.

Peranan pihak QIADAH boleh kita huraikan seperti berikut :

PERTAMA : Mewujudkan Suasana & Amalan Pengabdian Mutlak

Iaitu pengabdian mutlak kepada ALLAH di kalangan ahli-ahli. Peranan utama Qiadah adalah membentuk ‘ubudiyyah di kalangan mereka yang dipimpin. Ini bersesuaian dengan firman ALLAH Taala, “Dan tidaklah kami jadikan jin dan manusia, kecuali agar mereka mengabdikan diri kepadaku”.

Rasulullah SAW merupakan ikutan (qudwah) dalam pembentukan jiwa kaum Muslimin yang sentiasa cenderung untuk menerima segala arahan dan larangan ALLAH Taala. Para Sahabat sentiasa merasakan bahawa segala tindak-tanduk mereka akan diper-tanggungjawabkan kepada ALLAH. Suasana ‘ubudiyyah perlu disemarakkan oleh QIADAH agar semua anggota sentiasa merasakan kehadiran ALLAH tiap saat dan ketika. Ini akan menghidupkan iltizam di dalam HARAKAH untuk berjuang melaksanakan tuntutan-tuntutan ALLAH, baik dalam keadaan senang ataupun susah.

Di sini kita kemukakan 2 peristiwa yang menggambarkan suasana yang berjaya dipelihara dan dihidupkan oleh Saidina Umar RA :

(1) Kisah si ibu yang mahu mencampurkan susu dengan air kerana mengharapkan keuntungan sedang anak perempuannya memperingatkan kepadanya tentang larangan Amirul Mukminin, Umar Al Khattab. Ibu berkata,”Bukankah Amirul Mukminin jauh dari kita? Sudah tentu dia tidak melihat kita”.

Lalu anak perempuannya menjawab dengan tegas,”Kalau sekiranya Amirul Mukminin tidak melihat kita, maka Tuhan Amirul Mukminin tetap melihat kita”.

(2) Kisah yang diceritakan oleh AbduLlah bin Dinar ketika beliau bersama Umar al Khattab berangkat menuju ke Makkah, lalu mereka berhenti di suatu tempat dan bertemu dengan seorang pengembala yang turun dari bukit. Umar berkata kepadanya,”Wahai pengembala, jual-lah seekor kambing”. Pengembala itu menjawab,”Aku ini hamba”. Umar berkata untuk mengujinya,”Katakan kepada Tuanmu, bahawa kambing itu dimakan serigala”. Pengembala itu menjawab,”Tetapi dengan ALLAH bagaimana? Adakah aku dapat menyembunyikan hal ini dari-Nya?”.

Umar menangis mendengar perkataan pengembala tadi. Kemudian Umar pergi bersama pengembala itu, lalu hamba itu dibelinya dan dimerdekakannya. Umar berkata kepadanya,”Kalimat inilah yang telah menyebabkan engkau merdeka di dunia dan aku mengharapkan kalimat itu juga yang memerdekakan engkau di hari akhirat kelak”.

Demikianlah suasana ‘ubudiyyah yang telah begitu meluas hinggakan seorang hamba yang menggembala kambing dan seorang anak dalam keluarga kebanyakan sentiasa merasakan kehadiran ALLAH. Suasana ini perlu diutamakan dalam HARAKAH dan Qiadah memainkan peranan yang penting mewujudkannya. Secara tidak langsung suasana ‘ubudiah ini akan menambahkan kondisi ma'aruf dan menyekat kemungkaran di dalam HARAKAH itu sendiri.

Tanda-tanda kepimpinan yang berkesan dapat dilihat bilamana bertambahnya yang ma'aruf dan semakin berkurangan yang mungkar. Itulah tanda-tanda dan kesan-kesan yang menunjukkan sesuatu kejayaan dalam mana-mana kepimpinan pada mana-mana peringkat dan bahagian. Keseluruhan kesan-kesan tersebut hanya akan tercapai bilamana terlebih dahulu dapat dicapai pada bahagian-bahagian tertentu samada dalam bentuk peribadi atau jama'ah. Umpamanya kesan sembahyang ialah meninggalkan kejahatan dan kemungkaran. Kesan puasa menimbulkan ketaqwaan. Kesan Tauhid menimbulkan keimanan, kesabaran dan keberanian. Kesan Jama'ah merapatkan persaudaraan dan seterusnya. Di dalam keadaan kesan-kesan tersebut tidak dapat dirasakan oleh pemimpin, apatah lagi oleh yang dipimpin, maka hendaklah masing-masing bertindak membetulkan serta merenung di manakah kecacatan yang ada dalam pimpinan tersebut. Kerana yang ma'aruf akan menerbitkan yang ma'aruf dan mungkar menimbulkan yang mungkar.

KEDUA : Melaksanakan Tarbiyah & Pembentukan Fikrah Setiap Anggota HARAKAH.

Mentarbiyyah dan membentuk fikrah anggota-anggota Harakah merupakan salah satu tanggungjawab Qiadah yang terpenting. Kita utarakan di sini beberapa sebab kenapa pihak Qiadah perlu terlibat secara terus dalam hal-hal pentarbiyyahan dan pembentukan fikrah;

i) Pihak Qiadahlah sepatutnya mempunyai kefahaman yang jelas dan berupaya untuk menggagaskan tahap dan keperluan Harakah serta bentuk anggota-anggota yang dapat mendokong manhaj yang diambil oleh harakah. Untuk membentuk anggota-anggota yang diperlukan satu sistem dan program hendaklah disusun agar hubungan yang rapat sentiasa wujud di antara pimpinan pusat dan anggota-anggota harakah.

Di antara hikmah Hijrah yang diperintahkan oleh ALLAH ialah suasana di mana golongan Islam sentiasa dapat menikmati kehadiran Rasulullah SAW. Suasana yang wujud telah membentuk peribadi-peribadi yang menjiwai Islam sebagaimana yang dijiwai oleh RasuluLlah SAW.

Di dalam proses pembentukan HARAKAH, manusia yang berbagai tahap kefahaman dan iltizamnya akan tertarik untuk turut serta dalam perjuangan Islam. Memahami perjuangan bukan suatu yang mudah dan bukan suatu yang boleh didapati dengan andaian-andaian dan telahan-telahan. la perlu diolah dan dibentuk sesuai dengan asas yang dibina mengikut tabi'at perjuangan. Oleh itu, setiap anggota tidak boleh kabur mengenai soal MANHAJ, WASILAH dan HADAF untuk menjamin supaya haluan perjuangan tetap berada di landasan yang benar. Dalam hal ini pihak Qiadah perlu membimbing dan memastikan bahawa proses pentarbiyyahan dan pembentukan fikrah anggota-anggota menjiwai landasan yang benar.

ii) Untuk mencapai kejayaan tidak cukup dengan kesatuan dari segi menanggapi tujuan-tujuan asas sahaja, seperti pakaian yang seragam, sedondon sahaja bukanlah isyarat kesatuan yang sebenar dalam HARAKAH. Tetapi 'amilin dan da'ie dalam HARAKAH perlu mempunyai satu macam atau kadar tertentu dari wahdatul fikrah khasnya dalam perkara-perkara yang penting.

Untuk mencipta wahdatul fikrah antara pimpinan yang berbagai peringat dan pengikut-pengikut, samada peringkat cendiakawan atau pun bukan maka HARAKAH perlu mempunyai sikap yang jelas terhadap agama-agama lain, fahaman tidak bertuhan, mazhab-mazhab harakah-harakah yang berlainan trend, pemerintah, penggunaan kekerasan dan terhadap kuasa-kuasa asing, gerakan nasionalis dan Iain-lain. Mungkin tidak semua perlu dilakukan segera atau dengan lantang, tetapi kadar yang tertentu dari penentuan itu memanglah berfungsi mewujudkan satu macam wahdatul fikr.

Dalam HARAKAH pihak Qiadahlah yang sepatutnya paling menonjol dalam menggariskan fikrah anggota-anggota. Keselarasan Fikrah akan melahirkan kesempurnaan dan keselarasan tindakan dan pendirian. Ini merupakan satu unsur kekuatan HARAKAH.

iii) Ta'ah (kepatuhan) dan Thiqah (kepercayaan) ahli kepada pihak Qiadah banyak bergantung pada kemampuan Qiadah mentarbiyyah dan membentuk FIKRAH pengikut-pengikutnya. Pimpinan Ikhwan Al Muslimin misalnya sangat menonjol dari aspek pentarbiyyahan dan pembentukan fikrah ahli-ahlinya. Kita lihat bagaimana Imam Hassan Al Banna begitu ke hadapan mentarbiyyah ahli-ahlinya melalui contoh perjuangan dan garis-garis panduan tarbiyyah yang telah ditetapkan. Sayyid Qutb, Said Hawa, Yusuf Qaradhawi, Fathi Yakan, Mustafa as Siba’ie dan Iain-lain lagi telah memainkan peranan yang tidak ternilai menggariskan FIKRAH IKHWAN di dalam kemelut alam pemikiran yang sedang dihadapi oleh umat Islam tatkala ini. Begitu juga bagi Jama'ati Islami pula peranan yang sama telah dimainkan oleh pihak Qiadah terutamanya oleh Sayyid Abu A’la Al Maududi sendiri.

KETIGA : Bertanggungjawab Dalam Pentadbiran HARAKAH

Aspek pentadbiran tidak dapat dipisahkan dari ciri-ciri pimpinan yang berkesan. Seluruh pimpinan Islam sejak RasuluLlah SAW sehingga ke pimpinan gerakan-gerakan Islam dewasa ini berperanan dalam menyusun dan mentadbir Jama'ah. Pentadbiran Jama'ah secara umumnya perlu merangkumi dua ciri berikut :

1) UNSUR TANDZIM (ORGANASASI)

Sebuah HARAKAH Islam perlu menghayati beberapa unsur yang mempunyai ketentuan-ketentuannya yang tersendiri. la merupakan prinsip atau dasar kepada bentuk susunan Jama'ah. Dalam hal ini kita kemukakan empat unsur yang terpenting.

A) Al-Imarah

B) At-Ta'ah

C) As-Syura

D) Al-Bai'ah

Keselarasan FIKRAH ahli-ahli Harakah mengenai unsur-unsur ini serta ketentuan-ketentuannya. adalah perlu bagi pentadbiran yang berkesan. Di dalam risalah ini kita mengemukakan beberapa pen-dirian mengenai Al-Imarah dan As-Syura. Qiadah harakah akan dapat memimpin dengan keyakinan jika ahli-ahli harakah keseluruhannya jelas tentang konsep-konsep dan unsur-unsur tandzim (organisasi) yang diamalkan oleh Jama'ah. Perkara As-Syura umpamanya sungguhpun diterima dan diamalkan oleh harakah Islamiyyah di Malaysia tetapi perlaksanaan masih boleh dipersoalkan lagi.

2) ANGGOTA YANG BERTANGGUNGJAWAB

Pihak Qiadah perlu memastikan bahawa susunan organisasi HARAKAH tidak menghalang anggota-anggota berhubung terus dengan pimpinan. Hubungan yang rapat di antara Qiadah dan anggota Harakah perlu untuk perlaksanaan tarbiyyah, keseragaman fikrah dan keselarasan tindakan dan amal. Jika hubungan yang rapat tidak wujud atau susunan organisasi tidak licin dari aspek menyampaikan pendirian serta kehendak-kehendak Qiadah, pengawasan serta kawalan perkembangan HARAKAH terlepas dari perencanaan QIADAH. Natijahnya ialah kewujudan pimpinan-pimpinan tempatan yang membawa penekanan-penekanan sendiri. Keadaan yang lebih teruk akan timbul jika pimpinan pusat itu sendiri tidak berupaya mentarbiyyah dan membentuk fikrah ahli-ahli Harakah.

Hal ehwal pentadbiran organisasi bukanlah perkara yang mudah. Tahap keilmuan yang tinggi tidak semestinya menjadikan seseorang itu pentadbir yang baik. Walaupun ciri-ciri pentadbiran yang baik tidak dapat dipisahkan dari tahap ilmu yang ada. Namun, kemungkinan besar urusan-urusan pentadbiran itu sendiri boleh membantut peningkatan ilmu pihak Qiadah. Perkara ini terjadi disebabkan pentadbiran organisasi memerlukan masa dan tenaga fikir yang banyak. Sungguhpun begitu pihak Qiadah perlu berhati-hati agar tidak tertinggal dalam aspek amal-amal individu dan pen¬ingkatan ilmu untuk mempertingkatkan lagi daya kepimpinan yang ada.

KEEMPAT : QIADAH Menjiwai Permasalahan Yang Dihadapi Oleh Ahli-Ahli HARAKAH

Rasulullah SAWmenunjukkan kepada kita betapa pentingnya menjiwai pemasalahan dan perkembangan anggota-anggota HARAKAH. Saidina Umar RA semasa menjadi khalifah akan menunggu di masjid selepas setiap solat jama'ah agar mereka-mereka yang memiliki masalah dapat mengemukakan kepadanya. Jika tiada ada yang hadir ia akan berhenti sejenak dan kemudian baru pulang ke rumah. Beliau akan berkekalan di jalan-jalan pada malam hari untuk menanyakan masalah rakyat dan membuat pertanyaan-pertanyaan kepada wakil-wakil yang dihantar ke daerah-daerah Islam.

Perhatikanlah nasihat Imam Hassan Al Basri kepada Umar Ibn Abdul Aziz,”Ketahuilah wahai Amirul Mukminin, Allah mengangkat seorang pemimpin yang adil itu adalah untuk menegakkan setiap yang lurus, untuk men-nyahkan setiap yang menyeleweng, untuk membetulkan setiap yang rosak, untuk membantu setiap yang lemah, untuk menginsafkan setiap yang membuat penganiayaan, untuk memberi kekuatan setiap yang dianiaya dan untuk menolong setiap yang merasa sengsara”.

“Imam yang adil itu, wahai Amirul Mukminin adalah sebagai seorang ayah yang sayang pada anak-anaknya, ia bekerja demi kepentingan mereka, ia memberi pelajaran sesuatu yang berguna kepada mereka kelak di hari tuanya, berusaha membahagiakan anak-anaknya itu di kala ia masih hidup dan memberi simpanan pusaka setelah ia mati dan meninggalkan mereka itu”.

“Juga imam yang adil itu, wahai Amirul Mukminin adalah seorang ibu yang kasih dan bersikap ramah-tamah pada anak-anaknya, ia mengandungnya dengan menanggung segala kepayahannya, ia melahirkannya pun dengan menghadapi bermacam-macam kesukaran, dipeliharanya di waktu kecil, ia akan berjaga terus kerana anaknya tidak dapat tidur, ia akan tenang sebab melihat anaknya tenang, ia memberikan air susunya, tetapi juga melarangnya dalam waktu yang dirasakan kurang baik kalau diberikan, ia bergembira sebab melihat anaknya sihat dan berdukacita sebab mengaduhnya di waktu sakit”.

“Imam yang adil wahai Amirul Mukminin, adalah penanggung jawab dari seluruh anak yatim, pemelihara seluruh kaum fakir miskin. Maka yang kecil harus dipelihara dan besar harus diamat-amati”.

Nasihat Imam Hassan Al Basri ini wajar diamati dan diikuti. Pihak qiadah tidak boleh memberatkan hal-hal tarbiyyah, fikrah dan pentadbiran ahli-ahlinya tanpa mengendahkan hal-hal kebajikan, masalah kewangan atau kerja-kerja anggota-anggota Harakah. Keadaan hidup anggota-anggota Harakah tidak boleh terpisah dari seluruh penghayatannya terhadap perjuangan. Mengambil berat hal ehwal ahli-ahli jama'ah dalam apa bentuk sekalipun mestilah diutamakan oleh ahli Qiadah kerana ini adalah satu tuntutan syara’. Umar bin Abdul Aziz pernah berkata,”Aku akan dipersoalkan oleh Allah walaupun seorang kanak-kanak mati di tebing Sungai Furat”.

Keempat-empat peranan pihak Qiadah dalam HARAKAH telah diperturunkan dalam konteks peranan HARAKAH untuk mengembalikan semula hukum-hukum Allah Taala di muka bumi. Peranan ahli-ahli qiadah disamakan dengan peranan khalifah. Ini adalah tepat kerana kedua-dua bentuk pimpinan mempunyai matlamat dan tuntutan-tuntutan syara’ yang sama. Kefahaman ini mestilah tersemat di hati seluruh ahli-ahli jama'ah bahawa Qiadah mereka mempunyai peranan yang serius dan natijah dari itu mereka sendiri mempunyai peranan yang serius juga.

TANGGUNGJAWAB QIADAH

Berdasarkan kepada Al Quran dan As Sunnah serta kefahaman yang diperolehi dari penulisan-penulisan para 'ulama, di sini kita kemukakan beberapa tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh pihak Qiadah dalam Harakah Islamiyyah.

1) Syara' telah mewajibkan musyawarah kepada Qiadah. Sheikhul Islam Ibn Taimiyah berkata,”Pemimpin tidak boleh mengabaikan musyawarah kerana Allah memerintahkan Nabi-Nya bermusyawarah”. Hakikat ini perlulah diingati dan dihayati oleh Qiadah kerana ia merupakan tuntutan syara’. Penghayatan terhadap syura adalah perlu kerana penghayatan bererti Qiadah benar-benar menjiwai amalan ini.

Berlaku adil adalah sifat orang Mukmin dan hal ini mesti dititik-beratkan lagi oleh Qiadah. Rasulullah SAW mengingatkan pemimpin untuk berlaku adil dan mengelakkan penindasan. Rasulullah SAW menjanjikan kepada imam yang adil itu satu dari tujuh naungan AlIah di hari di mana tidak ada lagi naungan selain daripada naunganNya.

Rasulullah SAW sendiri mengendalikan keadilan di Madinah, sekiranya Baginda keluar dari Madinah Baginda akan mewakilkan urusan keadilan ini kepada orang yang dipercayainya. RasuluLlah SAW mengarahkan semua sahabat-sahabat-Nya untuk berlaku adil terhadap orang-orang yang mereka pimpin. Pusat penadbiran diarahkan Baginda agar menerima sungutan-sungutan masyarakat umum. Petugas-petugas pula diarah semoga tidak menunggang kuda yang mahal-mahal, makan roti dari tepung halus (mahal), memakai pakaian yang terlalu baik ataupun mengunci rumah mereka dari masyarakat. Tetapi mereka diarah untuk berlaku baik, menjadi contoh serta sentiasa adil.

Inilah perkara yang perlu diikuti oleh Qiadah masa kini, di mana keadilan itu perlu mereka laksanakan keseluruhannya. Qiadah mesti berlaku adil dalam memberi tugas kepada ahli-ahlinya. Qiadah juga perlu adil dalam memutuskan perkara-perkara yang melibatkan ahli-ahli di dalam Harakah.

Penghayatan terhadap keadilan dalam seluruh tanzim HARAKAH amatlah perlu diwujudkan di kalangan Qiadah kerana jama'ah Islam itu sendiri merupakan sebuah badan yang akan menegakkan keadilan hakimiah-lillah di muka bumi.

2) Qiadah perlulah ingat bahawa kedudukannya amatlah sensitif kerana ia akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah dan dia bertanggungjawab di atas kelakuan orang-orang yang dipimpinnya. Ibn Mas'ud berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda kepadaku,”Bacalah kepadaku Al Quran”. Saya berkata,”Ya RasulAllah, bagaimana saya akan membaca kepadamu, pada hal kepadamulah Al Quran diturunkan”. Ber¬sabda Nabi,”Aku suka mendengar dari orang lain”. Maka saya bacakan Surah An Nisa' sehingga kepada ayat… “Bagaimana bila Kami telah datangkan engkau sebagai saksi atas mereka semua”. Nabi bersabda,”Cukuplah”. Ibn Mas'ud menceritakan ketika beliau menoleh wajah Rasulullah SAW, tiba-tiba kedua mata Baginda berlinang-linangan dengan air mata.

Apabila Umar ibn Abdul Aziz dilantik menjadi Khalifah beliau berada dalam keadaan kesedihan selama dua bulan kerana diberikan satu ujian untuk menguruskan ummah. Ia lebih mengambil berat terhadap ummahnya daripada dirinya sendiri. Ia meneruskan sikap yang sebegini hingga ke akhir hayatnya. Selepas wafatnya para 'ulama menanyakan isterinya berkenaan diri Umar. Isterinya menjawab,”Demi Allah ia tidak bersolat sunat atau berpuasa sunat lebih daripada kamu semua, tetapi demi Allah, aku tidak pernah melihat seorang hamba yang lebih takut kepada Allah daripada Umar. Dia telah menyerahkan badan dan jiwanya untuk urusan ummah-nya. Ia menguruskan urusan masyarakat keseluruhan hari dan apabila malam ada kerja-kerja yang belum selesai ia akan meneruskan tugasnya di waktu malam. Di waktu malam ia akan solat sunat dua rakaat dan duduk memikirkan tanggungjawabnya sambil air mata mengalir dari matanya".

3) Seperti yang telah ditegaskan sebelum ini, salah satu peranan Qiadah di dalam HARAKAH adalah untuk tarbiyyah dan pembentukan fikrah ahli-ahlinya. Oleh kerana itu tarbiyyah adalah menjadi tanggungjawab Qiadah. Tanggungjawab ini adalah dilihat dari segi usaha mewujudkan suasana bagi penghayatan tarbiyah oleh ahli-ahli. Suasana yang diwujudkan oleh jama'ah yang dipimpin oleh Qiadah mengambil berbagai rupa dan bentuk.

Suasana yang paling utama adalah dari segi matlamat harakah itu sendiri yakni satu suasana kesungguhan menegakkan syiar Islam di kalangan ahli-ahli. Jika inilah suasana yang telah diwujudkan oleh HARAKAH, sudah pasti ahli-ahli akan berusaha bersungguh-sungguh dalam perjuangannya. Suasana untuk mencapai matlamat HARAKAH adalah peranan utama Qiadah bagi sesebuah Harakah. Suasana kesungguhan untuk berjuang yang ditekankan oleh Qiadah melalui HARAKAH akan dapat mencetuskan keinginan ahli-ahli untuk patuh kepada tuntutan-tuntutan Allah Taala. Hal ini dapat dilihat dari segi amalan ta'ah dan musyawarah dalam jama'ah. Dengan melaksanakan ketaatan kepada tanzim, ahli-ahli akan merasakan bahawa ketaatan itu adalah ketaatan untuk mendapatkan keredhaan Allah. Dalam amalan musyawarah pula ahli-ahli tadi merasakan bahawa ia melibatkan diri dalam perbincangan yang berkisar kepada penghayatan dan kefahamannya terhadap An Nahjus Sahih. Keinginan untuk bermusyawarah dengan menggunakan hujjah-hujjah yang nyata dapat lagi mendekatkan ahli-ahli untuk menghayati kehidupan Islam itu sendiri.

Penglibatan dalam musyawarah akan memberi lagi kejelasan matlamat perjuangan kepadanya. Setiap ahli perlu ingat bahawa lebih jelasnya lagi dirinya terhadap memahami jalan-jalan perjuangan bermaksud lebih lagi ia mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wata'ala. Dalam pentarbiyyahan ahli-ahli adalah peranan utama Qiadah untuk mewujudkan satu suasana ingat memperingati serta contoh tauladan bagi ahli-ahli dalam jama'ah. Demikianlah secara umum peranan utama bagi Qiadah dalam mewujudkan suasana untuk penghayatan tarbiyah ahli-ahli. Oleh kerana besarnya tanggungjawab Qiadah di dalam tar¬biyah ahli-ahli perlulah diingatkan bahawa Qiadah adalah mereka yang menonjol kebolehannya dalam aspek pertarbiyyahan ini.

Qiadah adalah terdiri daripada para pendidik yang berilmu Iuas serta mempunyai keupayaan mendidik yang benar. Peranan mendidik ini terjadi melalui kekuatannya untuk menyampaikan risalah dakwah. Ahli-ahli Qiadah yang mempunyai sifat-sifat begini selalunya menjadi rujukan masyarakat umum. Kelebihan-kelebihan ilmu mereka, contoh tauladan mereka serta kegigihan mereka di arena dakwah menjadi perhatian umum. Pendek kata, di mata umum mereka ini jugalah yang dipandang sebagai pemimpin ummah.

4) Qiadah bertanggungjawab untuk menaikkan semangat jihad ahli-ahlinya. Ini adalah kerana tindakan inilah yang dituntut Allah Taala ke atas Nabi-Nya. Firman Allah Taala bermaksud,”Wahai Nabi, berjihadlah melawan orang-orang kafir dan orang munafiq itu, dan bersikap keraslah terhadap mereka".

Semangat jihad ini hendaklah ditekankan dari semua penjuru, samada penulisan, bercakap di khalayak ramai, bekerja bersungguh-sungguh dan sebagainya. Hasrat dan cita-cita untuk syahid dalam menegakkan kalimah Allah perlu disemarakkan di dalam HARAKAH. Qiadah perlulah selalu menanamkan sifat cintakan Jihadul Qital di kalangan ahli-ahli tetapi hendaklah ia kena pada tempatnya. Contohnya jika ahli-ahli terlalu kuat bersemangat jihad dan Qiadah tidak dapat mengendalikan semangat mereka, dikhuatiri tindakan mereka akan membawa bahaya kepada tanzim.

HAK AHLI-AHLI HARAKAH MEMBERI MUHASABAH KEPADA PIMPINAN

Dalam zaman pemerintahan Islam, hak umat untuk mengawasi ketua negara dan pimpinan-pimpinan daerah amat dilindungi dan dihormati. Malah para pemimpin Islam itu sendiri mengajak umat mengawasi dan membetulkan mereka jika ada kelemahan ataupun kesalahan mereka. Sejarah menunjukkan kepada kita kebesaran jiwa dan kelapangan dada para pemimpin terdahulu. Abu Bakar as Siddiq RA pernah berkata dalam amanat-nya, antara lain,"Jika aku betul maka tolonglah aku, jika aku silap, maka betulkanlah". Saidina Umar pula sewaktu menerima tanggungjawab pimpinan pernah berkata,"Sesiapa yang melihat aku menyeleweng maka luruskanlah aku". Seorang yang hadir di majlis itu lalu berkata,"Demi Allah jika kami dapati ada penyelewengan daripadamu nescaya kami luruskan dengan pedang kami ini”. Jawab Umar,”Alhamdulillah, aku syukur kepada Allah kerana ada dari umat Muhammad ini yang akan membetulkan Umar dengan pedangnya”.

Hasan al Basri berkata bahawa Saidina Umar pernah disergah orang,”Wahai Umar, takutlah kepada Allah dan takutlah sebanyak-banyaknya". Orang ini telah mengatakan sesuatu yang keterlaluan terhadap Amirul Mukminin di tengah-tengah khalayak. Lalu Umar berkata kepada yang berada disekelilingnya,”Biarkanlah dia kerana tidak ada baiknya kepada mereka jika mereka tidak mengatakan ingatannya itu, ada kemungkinannya apa yang dikatakan itu akan kembali kepada dirinya sendiri”.

Setiap ahli masyarakat mempunyai hak untuk memberi muhasabah terhadap kepimpinan dan semua ruang untuk menyampaikan pendapat ramai tidak bolehlah disekat. Jika pemimpin itu merasa berat untuk menerima muhasabah terhadap peribadinya maka ia mempunyai kelemahan dalam kesungguhannya untuk membimbing umat. Sifat ini bererti ia cuba menyembunyikan kelemahan-kelemahan dan dengan kelemahan-kelemahan yang tersembunyi dalam dirinya masih juga ingin membimbing manusia. Sifat orang yang benar-benar layak membimbing manusia adalah sifat yang ingin membersihkan diri dari sebarang kelemahan dan terus membimbing manusia tanpa ada sebarang kelemahan-kelemahan itu di dalam dirinya.

Jika Umar sanggup menerima muhasabah di khalayak ramai apa pula keistimewaan qiadah pada hari ini untuk menerima muhasabah dengan cara tanpa pengetahuan umum. Kita mengakui bahawa dalam menyampaikan muhasabah ada adab dan hikmahnya. Jika muhasabah terbuka terhadap pemimpin dianggap tidak hikmah maka ini adalah salah. sesungguhnya tindakan itulah yang penuh hikmah kerana kalaulah sifat kaum muslimin untuk memberi muhasabah terbuka kepada pemimpin tidak wujud sudah pasti kisah ini tidak tercatit di lembaran sejarah untuk kita jadikan pengajaran bagi kaum Muslimin pada hari ini.

Bagitupun muhasabah dengan cara yang sembunyi terhadap qiadah mungkin dilakukan terhadap perkara-perkara yang terlalu peribadi dan menyentuh kelemahan diri peribadi pemimpin. Walau bagaimanapun, perlu dibezakan antara Qiadah dan ahli-ahli lain di dalam jama'ah. Memberi muhasabah dengan terus terang dan ter¬buka kepada Qiadah sepatutnya lebih mudah berbanding ahli-ahli lain, ini adalah kerana Qiadah sepatutnya menyedari betapa sensitifnya kedudukan mereka dan tidak patut merasa berat untuk menerima muhasabah dengan terus terang.

Bagi ahli-ahli pula hendaklah mereka ingat bahawa memberi muhasabah adalah tuntutan dasar bagi mewujudkan ukhuwwah Islamiyyah yang sejati. Jika hal ini disedari oleh ahli-ahli maka banyak masalah memberi muhasabah boleh diselesaikan. Kerana kurangnya penghayatan terhadap tuntutan ukhuwwah inilah yang menyebabkan ahli-ahli itu berat memberi muhasabah kepada sahabatnya yang lain. Di samping itu, ahli-ahli juga perlu merasakan bahawa memberi muhasabah kepada Qiadah adalah tuntutan syara' ke atasnya. Sabda Rasulullah SAW maksudnya,"Tiga perkara yang sukar untuk menjadikan hati Mukmin itu keras : Pengabdian sepenuh kepada Allah, nasihat yang ikhlas terhadap pemimpin-pemimpin serta kekal bersama jemaah Muslimin”.

"Allah menjadi redha kepada kamu dalam tiga perkara : Pertama bahawa hendaklah kamu sembah Dia dan sekali-kali jangan kamu sekutukan Dia dengan sesuatu. (Kedua) bahawa kamu berpegang teguh semuanya kepada tali Allah dan jangan kamu berpecah belah. (Ketiga) dan hen¬daklah kamu menasihati orang-orang yang ditakdirkan Allah menjadi pemimpinmu”.

HAK QIADAH

Pihak qiadah berhak mendapat kesetiaan atau wala' dari ahli HARAKAH dengan adanya bai'ah antara ahli-ahli HARAKAH dengan Qiadah. Ini adalah didasarkan kepada tuntutan syara' yang berlaku setelah terjalinnya bai'ah. Islam menuntut seseorang muslim itu apabila ia mengikat sesuatu perjanjian atau bai'ah wajib di atasnya menyempurnakan setiap perkara atau syarat yang terkandung di dalamnya (bai'ah).

Kesemuanya itu bergantung di atas perkara-perkara yang baik dan dibenarkan oleh Islam sahaja. Tidak wajib melaksanakan sesuatu yang berupa maksiat.

Jika dikaji sejarah Para Sahabat dan Tabi'en R.A, kesetiaan adalah faktor utama dalam mengekalkan licinnya perjalanan Daulah Islamiyyah di masa itu. Di masa pemerintahan Umar ibn Al Khattab, beliau sering memanggil Para Sahabat dan meminta bantuan mereka dalam menguruskan kerajaan. Umar sering berkata, jika mereka (Para Sahabat) tidak menolongnya, siapa lagi yang akan menolongnya. Pernah juga Abu 'Ubaidah merungut bahawa Umar akan menarik Para Sahabat ke dalam urusan dunia. Umar lantas menjawab,”Jika Sahabat-Sahabat Rasulullah SAW tidak menolong maka siapa lagi yang dapat ia meminta pertolongan". Kesetiaan Para Sahabat terhadap Amirul Mukminin telah memudahkan Umar menjalankan jentera-jentera kerajaannya dengan begitu berkesan.

Apabila kesetiaan ini mulai luntur, maka akan banyaklah masalah-masalah yang timbul dalam kelancaran pentadbiran. Ini dapat berlaku dalam mana-mana jama'ah atau masyarakat walaupun di zaman tabi'en dahulu. Saidina Ali RA telah disoal,”Mengapa manusia ramai berbeza pendapat berkenaan engkau (Khilafah), dan mengapa mereka tidak berbeza pendapat berkenaan pemerintahan Abu Bakar dan Umar?”. Saidina Ali menjawab,”Ini kerana Abu Bakar dan Umar memerintah orang-orang seperti aku, dan hari ini aku memerintah orang-orang seperti engkau”.

Mentaati imam atau khalifah itu hukumnya wajib selama khalifah tetap menjalankan tugasnya dan berjalan di atas dasar ajaran Al Quran dan Sunnah. Tetapi jika khalifah (pemerintah) telah menyeleweng dari kedua tugas ini, tidak wajiblah mentaatinya bahkan berkewajipan mengembalikan khalifah ke jalan yang hak dan menghukum-nya. Maka apabila dengan cara demikian tidak dapat dilaksanakan barulah khalifah diberhentikan dan digantikan dengan yang lain.

QIADAH PERLU MEMERHATI PETUGAS-PETUGAS

Setelah memberikan tanggungjawab kepada seseorang ahli, tugas pimpinan tidak berhenti di situ sahaja, tetapi mereka kenalah memerhati, memeriksa dan mengendalikan apa yang dijalankan oleh mas'ul-mas'ul tertentu. Umar bin Al Khattab pernah memilih Sa'id ibn Amir Al Juhami untuk menjadi gabenur di salah sebuah wilayah di Syria. Tidak berapa lama kemudian Umar melawat Syria dan singgah di tempat penduduk-penduduk mengajukan empat rungutan terhadap Sa'id. Rungutan-rungutan itu seperti berikut :-

1) Sa'id tidak keluar kecuali apabila matahari sudah agak meninggi (untuk solat Subuh). Lalu dijawab Sa'id : Keluarganya tidak mempunyai pembantu oleh kerana itu beliau terpaksa bangun awal di pagi hari untuk membancuh tepung untuk membuat roti. la menunggu bancuhan itu naik sebelum dibakar. Kemudian baharu dia mengambil wudu' untuk mengerjakan solat.

2) Sa'id tidak melayani tetamu di waktu malam. Lalu dijawab Sa'id : la telah memperuntukan siang untuk manusia dan malam untuk Allah (qiyamullail).

3) Sa'id tidak menemui mereka sehari dalam tiap-tiap bulan. Lalu dijawab oleh Sa'id : Beliau tidak mempunyai pakaian kecuali sehelai yang dipakainya. Pakaian itu dibasuh dan ditunggu hingga kering. Selepas itu barulah Sa’id keluar.

4) Dari masa ke semasa, Sa'id selalu pitam semasa perjumpaan. Jawaban Sa'id : Aku menyaksikan Khubayb Ibn Adi dibunuh oleh orang-orang musyrik. Aku melihat Quraish memotong-motong dagingnya dan mengatakan ( Adakah kamu mahu Muhammad mengganti tempat mu ini? ), di mana Khubayb menjawab,”Aku tidak rela selamat dan aman bersama keluargaku sedangkan Muhammad disakiti walaupun dengan tusukan duri”.

“Demi Allah, apabila aku mengingati hari itu dan bagaimana aku gagal untuk datang menolongnya, aku hanya memikirkan Allah tidak mengampunkan dosaku dan oleh kerana itulah aku pitam”.

Ini cumalah satu daripada banyak tauladan yang penuh erti untuk pimpinan dalam memastikan bahawa tugas-tugas yang telah diserahkan kepada ma'sul-ma'sul tertentu dilaksanakan dengan baik. Qiadah juga dituntut untuk selalu memeriksa perbuatan orang-orang yang dilantiknya semoga ia dapat mengetahui samada perubahan telah berlaku dalam amalan atau sifat mas'ul-mas'ul yang telah dilantik. Kerana itu selepas mendengar jawaban Sa'id, Umar pun berkata,”Maha Suci Allah, sesungguhnya pandanganku terhadap Sa'id tidak tercacat (yakni Sa'id tetap luhur dari awal hingga akhimya)”. - TARBAWI

Sunday, September 4, 2011

Setuju jika diadakan BERSIH 3.0?


Ummu ziyad sudah mula bertanya di shoutbox blog," bilalah abu ziyad nak update blog ni kan?

Ziyad pula mungkin kalau boleh bersuara dia akan sambut, " betul betul betul..!

Apakah blog ini akan di update selepas ini? persoalan dalam diri.

Tunggulah selepas ini.

Walaubagaimanapun, saya dengan ini memaklumkan bersetuju jika tuntutan bersih 2.0 tidak dilunaskan maka amat wajar diadakan BERSIH 3.0 demi melihat kebersamaan rakyat Malaysia dalam menjiwai kemerdekaan yang sebenar.

Demikian pula, rakyat Malaysia semakin mengkaji fakta sejarah Malaysia yang telah diputar belitkan oleh UMNO khususnya. Melalui sistem pembodohan semenjak kita berada di bangku sekolah rendah lagi.

Allah berfirman : "Dan ingatlah olehmu di waktu Tuhan menjadikan kamu pengganti-pengganti (yang berkuasa) sesudah kaum 'Ad dan memberikan tempat bagimu di bumi. Kamu dirikan istana-istana di tanah-tanahnya yang datar dan kamu pahat gunung-gunungnya untuk dijadikan rumah. Maka ingatlah nikmat Allh dan janganlah kamu merajalela di muka bumi membuat kerosakan" (Surah al-A'raf : 73)

Sekian, kenyataan rinkas dari saya.

Salam eid Mubarak!

Tuesday, June 7, 2011

Nasihat Kepada Yang Kalah- Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man


Muktamar PAS Pusat telah berlalu. Pelbagai cerita suka duka, tawa dan tangis didengar dalam keriuhan suasana mesra jamaah. Itulah keindahan perjuangan Islam. Kita membina ukhuwwah Islamiah dalam jamaah mengatasi kepentingan peribadi. Kemanisan perjuangan ini tentulah tidak lahir secara spontan, bahkan ia lahir melalui tarbiyah samada secara formal atau informal. Semua kita sayangkan suasana ukhuwwah ini, kerana kita yang bersama dalam perjuangan di dunia mengharapkan agar Allah mengumpulkan kita dalam majlis yang diredhai-Nya di akhirat.



Hakikat Pencalonan

Kita menyedari bahawa kita bukanlah insan terbaik dalam jamaah, kita bukanlah ahli yang hebat dengan keilmuan sehingga mampu menerangi cahaya bagi menyuluh jalan agar Allah redha kepada kita, kita bukanlah ahli ibadah yang hebat, mampu menangis di hadapan Allah setiap malam dikala manusia lain sedang nyenyak tidur, dan kita juga bukanlah pemimpin terbaik. Kita hanya menawar diri itupun setelah ada orang lain mencalonkan kita; terkadang kita malu dengan pencalonan itu, kerana kita mengetahui kelemahan diri kita, namun apakan daya kerana kita tidak mampu menjawab hisaban di akhirat bilamana mengecewakan harapan jamaah.

Lantaran ia hanya tawaran diri, tentulah kita tidak akan kecewa bilamana kita tidak dipilih. Apa yang nak ditangisi dan disesali diri, kalau ia adalah satu keringanan hisaban di akhirat? Apa yang nak dikecewakan bilamana ahli tidak memilih kita, kerana apa yang berlaku dengan kehendak Allah semuanya, tangannya hanya memilih apa yang telah digerakkan hatinya oleh Allah.

Ingatlah, andainya kita tahu betapa gembiranya nanti bilamana kita dihadapkan di hadapan Allah, tentulah kita tidak sedih, kecewa dan apatah lagi menyimpan dendam pada yang tidak memilih kita, bahkan ucaplah terima kasih kerana meringankan bebanan di akhirat, sedangkan bebanan dosa diri sendiripun kita dah tidak mampu untuk menjawabnya. Ya Allah ampunilah dosa-dosaku yang banyak ini.

Andainya kita rasa sedih di atas kekalahan kita, cuba tanya pada diri.

"Apakah ia lahir dari rasa hebat kita berbanding orang lain?"

"Lekeh sangatkah orang yang berjaya bilamana ramai perwakilan memilih mereka?"

Aku sangat khuatir andainya ia lahir dari bisikan syaitan agar rasa kecewa, merajuk kemudian menyepi diri dari jamaah dan akhirnya gugur dari medan dakwah. Kerana inilah matlamat syaitan dan inilah yang menggembirakan musuh, dan inilah juga yang mengecewakan kita di akhirat.

Perjuangan Dan Bekalan

Ketewasan dalam merebut jawatan dalam parti, bukanlah berakhirnya sumbangan kepada kemenangan Islam dan lebih-lebih lagi bilamana kita rasa bahawa jamaah akan susah dengan ketiadaan kita. Perjuangan Islam terus berjalan, dan usia kita semakin hampir. Apa rasa andainya kita yang telah menghabiskan usia dalam perjuangan yang sangat panjang, tiba-tiba berakhir dengan kita tiada dalam kelompok yang memperjuangkan Islam.

Aku sangat bimbang akan diriku dalam hal ini. Semoga Allah lindung kita bersama. Lantaran itu, teruskan perjuangan, kerana usia kita semakin hampir bertemu Allah, sedangkan perjuangan ini masih jauh. Inilah nasihat kepada yang ditipu oleh nafsu dan pujukan syaitan yang merasa kecewa dengan pemilihan yang kecil di dunia, agar kita tidak tewas dalam ‘pemilhan’ yang besar di hadapan Allah di akhirat.

Wasiat Kepada Yang Berjaya

Andainya kita tahu apa yang menanti kita di akhirat, tentulah kemenangan akan disambut dengan tangisan dan dukacita, kerana itulah wasiat Rasulullah: "Sesungguhnya jawatan ini adalah amanah, dan ia di akhirat adalah dukacita dan penyesalan" .

Kalaulah tidak kerana perjuangan Islam yang dijanjikan kemenangan di akhirat, tentulah tiada siapa yang teringin akan jawatan ini.

Kepada yang berjaya memenangi apa jua jawatan, berbanggalah di hadapan Allah andainya kita dapat melaksanakan amanah, mengangkat martabat Islam, memperjuangkan syariat Allah dan berada di hadapan di dunia untuk terus dipilih oleh Allah agar terus berada di hadapan di akhirat. Ingatlah “debu-debu yang melekat di kaki mereka yang memperjuangkan Islam, menyebabkan ia tidak akan disentuh oleh api neraka di akhirat”. Allahumma.. masukkan kami dalam kelompok tersebut.

Keindahan perjuangan Islam lahir dari dokongan semua pihak, perjuangan tidak akan bertemu dengan kerehatan dan keselesaan. Perjuangan adalah pengorbanan untuk Allah dan Rasul. Mencari redha Allah bukanlah dapat dicapai dengan merasa hebat dengan jawatan yang disandang, dan juga bukanlah merasakan akulah yang layak, berbanding orang lain.

Perjuangan bagi mendaulatkan Islam tidak akan berhasil andainya kita yang memegang jawatan ini jauh dari Allah, merasa kagum dengan kebolehan diri dan merasakan bahawa apa yang kita capai hasil kebijaksanaan kita dan kitalah penentu kepada kemenagan ini. Lantaran itu, kita dikuasai oleh nafsu merasa kehebatan diri sendiri dan memandang lekeh kepada orang lain.

Pimpinan yang berjaya bukanlah mengumpulkan manusia yang hebat sekelilingnya dan merasakan dirinyalah yang hebat dikalangan yang hebat. Tetapi pemimpin hebat ialah yang menghargai semua sumbangan, membaiki yang rosak, rawat yang terluka, memberi harapan bagi yang kecewa, agar semuanya terus memberi sumbangan kepada perjuangan ini. Tuan Ibrahim Tuan Man, ditulis pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-55 tajuk asal : Nasihat Kepada Yang Kalah, Wasiat Kepada Yang Menang

Laman Tarbawi

Friday, May 20, 2011

Lelaki Bertaqwa

Islam juga memberi panduan kepada kaum wanita dalam memilih bakal suami mereka. Hal ini disebabkan aspek memilih jodoh bukanlah perkara yang boleh dipandang mudah. Ia tidak boleh dilakukan dengan terburu-buru atau tanpa penilitian yang mendalam. Ini disebabkan perkahwinan melibatkan soal kehidupan, zuriat, hak, tanggungjawab dan kasih sayang yang bakal kita jalani bersama dengan pasangan.

Lebih-lebih lagi bagi seorang wanita, ia perlu menyelidik terlebih dahulu latar belakang bakal suaminya dari segi akhlak serta penghayatan agamanya. Ini kerana menurut kajian, kaum wanitalah yang paling teruk menerima kesan buruk apabila suami mengabaikan hak isteri, tidak mempergauli isteri dengan baik, curang, tidak melaksanakan tanggungjawab terhadap keluarga dan sebagainya.

Adalah menjadi kewajipan ibu bapa memberikan panduan yang baik bagi anak-anak perempuan mereka mencari bakal suami dari kalangan lelaki yang berakhlak tinggi dan taat pada ajaran agama. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jika seorang lelaki datang untuk meminang anak perempuan kamu dan kamu redha (berpuas hati) tentang agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia (dengan anak perempuan kamu). Jika hal itu tidak kamu lakukan, akan berlakulah fitnah di muka bumi dan kerosakan yang besar”.

Sesungguhnya sifat-sifat inilah (baik akhlak dan agama) yang mesti dijadikan kriteria utama di dalam memilih bakal suami sebelum dilihat atau dipilih pada sudut harta, pangkat dan kedudukan lelaki tersebut. Lelaki yang sederhana kehidupannnya tetapi berakhlak mulia serta taat melaksanakan segala perintah Allah SWT dan rasul-Nya itulah sebenarnya seorang yang kaya, sebaliknya lelaki fasik (ingkar kepada suruhan Allah SWT ) walaupun hidup kaya raya, hakikatnya ia adalah miskin.

Mengapa demikian? Kerana kefasikan hidup akan melesapkan harta kekayaan melalui aktiviti perjudian, minuman keras, berkunjung ke tempat-tempat maksiat, berfoya-foya dan sebagainya. Hak-hak isteri dengan sendirinya hilang dan terabai. Isteri hidup dalam tekanan perasaan kerana tanggungjawab terhadap keluarga dan anak-anak dilupakan. Inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW dalam hadis di atas sebagai “fitnah di muka bumi dan kerosakan yang besar”.

Suami yang hidup dalam kefasikan bermakna mengundang murka Allah SWT. Jika Allah SWT sudah murka, bagaimanakah rahmat dan keberkatan hidup berumahtangga akan dapat dinikmati?

Diriwayatkan dalam sebuah kisah, seorang lelaki datang menemui Hasan bin Ali RA (cucu Rasulullah SAW) untuk meminta nasihat. Katanya, “Anak perempuanku dipinang oleh beberapa orang lelaki. Dengan lelaki yang bagaimanakah yang layak dikahwinkan dengan puteriku?” Hasan menjawab, “Kahwinkanlah dia dengan lelaki yang bertakwa kepada Allah, kerana jika ia menyukai isterinya ia pasti mengasihinya, tetapi jika ia tidak menyukai isterinya pasti ia tidak akan berlaku zalim terhadapnya (tetap menghormati isterinya)”.

Prof. Dr. Miqdad Yaljan dalam bukunya bertajuk “al-Bayt al-Islami Kama Yanbaghi An Yakun” menulis: Soal perkahwinan adalah persoalan hidup keseluruhannya. Lebih-lebih lagi kaum wanita dalam membuat penelitian terhadap bakal suami. Ini kerana kuasa talak terletak di tangan suami mereka.

Menurut beliau lagi, sekiranya perceraian berlaku, ia akan lebih mendatangkan kemudaratan kepada wanita berbanding lelaki sama ada dari sudut sosial, psikologi dan ekonomi. Tambahan lagi pandangan negatif sesetengah masyarakat kepada wanita bergelar janda menambahkan lagi tekanan perasaan mereka. Malah perasaan malu akibat perceraian lebih dirasai oleh golongan wanita berbanding lelaki.

Rasulullah SAW juga amat benci kepada mana-mana bapa (atau wali) yang mengahwinkan anak perempuan mereka dengan lelaki yang fasik. Baginda mengingatkan dalam sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang menikahkan anak perempuannya dengan lelaki fasiq bererti ia telah memutuskan hubungan silaturrahim dengan anaknya sendiri”.

Lihatlah betapa tegasnya Rasulullah SAW dalam menggesa para ibu bapa agar mengahwinkan anak perempuan mereka dengan lelaki yang beriman dan menjauhi dari mengahwinkannya dengan lelaki yang fasik.

Apakah fitnah atau malapetaka yang lebih besar selain daripada menikahkan anak-anak yang berjiwa bersih, berperibadi mulia dan taat menjalankan suruhan agama dengan lelaki yang tidak menghiraukan perintah Allah SWT dan bergelumang pula dengan maksiat?

Kita melihat bahawa berapa ramai anak-anak perempuan yang ketika berada di bawah naungan keluarganya tidak pernah melakukan maksiat, tetapi apabila berkahwin dengan lelaki fasik, mereka terus hanyut dalam arus maksiat yang diterajui oleh suami mereka sendiri.

Gadis yang pada mulanya berperibadi mulia, akhirnya terseret jauh oleh kesesatan suaminya. Memakai pakaian yang mendedahkan aurat, meninggalkan solat dan bentuk-bentuk ibadah lainnya. Semua ini jelas merupakan kerugian yang nyata sekali bagi dirinya.

Oleh sebab itu, amat wajarlah Rasulullah SAW menghukum mana-mana bapa atau wali yang mengahwinkan anak perempuan mereka dengan lelaki yang fasik, yang seolah-olah dia memutuskan hubungan silaturrahim dengan anak perempuannya sendiri.

Kesimpulannya, kaum wanita perlu lebih teliti dan berhati-hati dalam soal pemilihan jodoh. Ini kerana perkahwinan bukanlah kontrak perniagaan yang berorientasikan keuntungan semata-mata, tetapi ia merupakan “ikatan sosial” yang merangkumi pelbagai aspek kemanusiaan seperti pertalian jiwa, kasih sayang, ketenangan hati, tuntutan biologi, nasab keturunan, hak, tanggungjawab, toleransi dan sebagainya.

Hayatilah firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki mahupun perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dengan limpah kurniaan-Nya, kerana Allah Maha Luas rahmat-Nya lagi Maha Mengetahui”. (an-Nur: 32).

Sumber

Orang Berakal Mesti Cari Ilmu

Ilmu mengikut takrif (definisi) Islam ialah pengetahuan dan maklumat secara menyeluruh termasuk perkara ghaibiyyat (perkara yang ghaib). Mengikut takrif masyarakat Barat pula, ilmu hanyalah maklumat yang dapat dikesan oleh pancaindera. Ilmu wahyu yang berkaitan dengan perkara ghaib dianggap bukan ilmu.

Manakala hikmah pula ialah meletakkan sesuatu perkara dengan cara yang betul dan baik.

Ilmu dan hikmah adalah hasil akal, satu kurniaan Allah kepada manusia, ia membezakan manusia dengan makhluk yang lain. Allah SWT menciptakan sebagai makhluk yang berakal. Allah menyifatkan mereka dengan beberapa ungkapan yang menarik, dengan lafaz Ulil Albab, Ulil Absor dan lain-lain.

Antara perkara penting yang mesti dilakukan oleh akal ialah mencari ilmu. Hikmah dan ilmu dicapai sama melalui kurniaan Tuhan, secara langsung atau secara belajar, atau hasil dari beramal dengan ilmu, juga kajian dan pengalaman.

Nas-nas al-Quran dan al-Hadis telah memberi penekanan dalam perkara ini, Allah SWT telah mengesahkan tentang kurniaan ilmu kepada Nabi Daud a.s iaitu Rasul yang dipilih untuk memimpin kerajaan yang menjadi contoh Hadharah Islamiyyah sebagaimana firman Allah menerusi ayat 251 surah al-Baqarah yang bermaksud: "Dan Allah mengurniakan kepadanya (nabi Daud) pemerintahan (kerajaan), hikmah (kebajikan) dan mengajarnya (diberi ilmu) daripada apa yang dikehendaki-Nya."

Firmany-Nya lagi menceritakan tentang Nabi Daud dan puteranya Sulaiman a.s: "Dan kepada masing-masing Kami kurniakan hikmah dan ilmu." Ayat 79 surah al-Anbiya.

Allah SWT juga menentukan ayat-ayat yang pertama diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w adalah berhubung dengan ilmu. Firman Allah yang bermaksud: "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk),(1) Dia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku; (2) Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Pemurah, (3) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, (4) Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya(5)." - Surah al-Alaq dari ayat 1 hingga 5

Setelah dinyatakan prinsip ilmu, akidah dan akhlak, Allah berfirman kepada rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Perintah yang demikian itu ialah sebahagian daripada hikmah yang telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) oleh Tuhanmu dan (ingatlah) janganlah engkau jadikan bersama-sama Allah sesuatu yang lain yang disembah, kerana akibatnya engkau akan dicampakkan ke dalam neraka jahannam dengan keadaan tercela dan tersingkir (dari rahmat Allah)." - Ayat 39 surah al-Isra'.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:"Hikmah itu laksana barang tercicir kepunyaan orang beriman, maka dialah yang berhak mengambilnya." - Hadis riwayat Imam at-Tarmizi dan Ibnu Majah.

Al-Quran adalah mukjizat dalam bentuk ilmu yang dikurniankan kepada Rasulullah s.a.w. Ia adalah mukjizat yang berterusan sehingga hari kiamat. Ia juga mencakupi di dalamnya segala perkara, termasuk perkara yang boleh dikesan oleh akal dan pancaindera manusia, yang mampu dikaji oleh mereka dari masa ke semasa, dan ada perkara yang tidak mungkin dicapai oleh akal dan pancaindera.

Ia adalah sebahagian daripada ilmu Allah SWT yang tidak terhingga dan terbatas luar daripada kemampuan manusia untuk mengkaji dan memahaminya. Al-Quran adalah petunjuk dalam perkara yang telah diketahui oleh mereka. Petunjuk al-Quran adalah penuh dengan hikmah yang tepat dan betul.

Mengikut ajaran Islam, semua ilmu adalah berasaskan peranan manusia yang telah ditetapkan oleh Allah. Oleh kerana itu, Islam tidak sama sekali memisahkan antara urusan rohani dan jasmani, dunia dan akhirat.

Semua sudut penghidupan hendaklah berjalan serentak. Ini disebabkan perjalanan hidup manusia memerlukan makanan rohani dan jasmani. Dunia berfungsi sebagai jambatan menuju akhirat, sama ada menuju ke syurga atau neraka.

Kemampuan manusia adalah terhad, mereka memerlukan pertolongan Allah termasuk dalam urusan dunia, sistem pendidikan, dan pelajaran yang mengendalikan segala pengajian hendaklah memenuhi prinsip, objektif dan matlamat pendidikan Islam dengan acuannya yang tersendiri, iaitu membangunkan manusia dengan iman, ilmu dan akhlak seperti yang disebut oleh Jibril a.s ketika menyoal Rasulullah s.a.w dalam hadis yang kedua menerusi hadis 40 Imam an-Nawawi, di mana hadis itu menjurus kepada persoalan Jibril kepada Rasulullah s.a.w mengenai Islam, Iman, Ihsan dan tanda-tanda kiamat. Baginda s.a.w telah menjawab satu persatu persoalan yang dikemukakan kepadanya.

Setelah selesai pertanyaan Jibril itu, beliau pun beredar, maka baginda s.a.w memanggil Sayidina Umar bin al-Khattab dan bertanya kepadanya, apakah beliau mengenali orang yang bertanya itu, jawab Umar:" Tidak wahai Rasulullah! Allah dan Rasul-Nya sahaja yang mengetahui."

Jawab Nabi s.a.w itulah dia Malaikat Jibril. Dia datang kepada kamu semua untuk mengajar kamu berkenaan agama kamu."

Inilah acuan yang telah melahirkan Hadharah Islamiyyah yang berjaya, tetapi acuan ini telah ditinggalkan. Pada zaman ini telah berlaku perkara yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. Negara-negara Teluk Parsi yang kaya dengan minyak dahulunya adalah kawasan pengembalaan kambing, begitu juga di daerah lain di dunia ini termasuklah Malaysia.

Kini manusia berlumba-lumba mendirikan bangunan-bangunan tinggi oleh kalangan hartawan jadian untuk menunjuk-nunjuk kemewahan di tengah-tengah lautan manusia yang hidup terbiar dibelenggu kemiskinan dan kemelaratan.

Tuan Guru Haji Hadi

Sunday, May 8, 2011

Selamat Hari IBU


Mak

Mama mertua


Ummu ziyad


Thursday, May 5, 2011

Bina Keyakinan Dengan Ilmu

  © Blogger template 'Solitude' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP