Sunday, July 20, 2008

Bacaan

sekadar gambar hiasan

Mengundi babitkan dosa, pahala - Dr Haron Din
Dato' Dr Haron Din
Fri | Jul 11, 08 | 4:10:01 pm MYT

SOALAN: Memilih atau mengundi mana-mana calon pada pilihan raya, adalah salah satu proses demokrasi. Seseorang itu boleh dan bebas memilih sesiapa yang dia suka. Ini adalah perkara dunia yang tidak ada kena mengena dengan dosa dan pahala. Hal sebegini pernah disebut oleh banyak orang, terutamanya orang politik. Apakah benar ia tiada kaitan dengan akhirat? Apa pandangan Dato'? � JEMAAH TABLIGH, Seri Petaling

JAWAPAN: Tanggapan sedemikian merupakan sesuatu yang sering dimomok-momokkan sebilangan orang, terutamanya mereka yang mengasaskan dasar politik mereka di atas dasar sekular.

Tambahan pula, media massa di negara kita, sememangnya memihak kepada apa yang saudara dakwakan.

Rakyat disajikan terus-menerus mengenai gagasan yang memisahkan antara politik dengan agama daripada penghidupan.

Kebetulan di negara kita, parti politik yang memperolehi kuasa atas nama demokrasi, tidak berteraskan Islam. Malah kadang kala semacam memusuhi politik Islam.

Oleh kerana itu ia mencetuskan persepsi sebagaimana yang saudara sebutkan, iaitu menafikan kerja-kerja pilihan raya dengan belanja dan tenaga yang besar, dinafikan ia mendatangkan apa-apa pahala.

Islam pada hakikatnya, tidak terpisah dan tidak akan sesekali berpisah dengan penghidupan secara total.

Islam itu adalah segala-galanya dalam kehidupan Muslim. Mahu tidak mahu sebagai umat Islam, kita mesti menerima hakikat bahawa Islam itu adalah cara hidup yang lengkap.

Inilah maksud sebenar daripada firman Allah (mafhumnya): "...Pada hari ini (hari Nabi Muhammad s.a.w. mengerjakan haji wada'), Aku (Allah) telah sumpurnakan bagi kamu agama kamu (Islam), dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku, dan aku reda Islam itu menjadi agama (anutan) kamu..." (Surah al-Maidah, ayat 3)

Inilah ayat yang menyimpulkan kesempurnaan Islam itu sebagai suatu cara hidup.

Jika politik terpisah daripada Islam dan Islam tidak boleh dipolitikkan, bagaimana kita hendak memahami kesempurnaan Islam?

Rasulullah s.a.w. sendiri menghayati erti kesempurnaan Islam itu dengan baginda sendiri menjadi pemerintah negara dengan melaksanakan semua perintah Allah.

Bagaimana mungkin segala perintah Allah boleh dilaksanakan jika kuasa pemerintahan tidak ada di tangan baginda. Dan bagaimana mungkin umat Islam hari ini hendak melaksanakan perintah-perintah Allah, jika kuasa pemerintahan tidak berada ditangan orang-orang Islam.

Memerintah negara seperti yang dilakukan oleh Rasulullah di Madinah, adalah suatu realiti yang wajib diimani bahawa itulah Islam yang sempurna.

Islam yang syumul disandarkan kepada kuasa politik untuk kepentingan Islam itu sendiri.

Sebaik sahaja Rasulullah dipanggil pulang oleh Allah, dan belum pun disempurnakan jenazah baginda, sahabat-sahabat besar berkumpul dan berhempas pulas untuk menyelesaikan masalah besar ummah iaitu mencari pemimpin untuk meneruskan pemerintahan Islam yang ditinggalkan oleh Rasulullah.

Sahabat-sahabat berijmak atau bermuafakat untuk mencari pengganti. Ini adalah urusan politik yang mesti dibereskan terlebih dahulu.

Sahabat berpendapat urusan politik untuk meneruskan pemerintahan untuk kepentingan ummah lebih penting dari menyegerakan pengkebumian Rasulullah s.a.w.

Akhirnya mereka memilih Abu Bakar as-Siddiq sebagai ketua negara, memenuhkan kekosongan yang ditinggalkan oleh Rasulullah.

Politik Islam asasnya suci murni, memegang kuasa untuk memimpin ummah bagi menuju keredaan Allah.

Islam menjadi juara politik di zaman-zaman silam. Pemerintahan Islam, terus menerus menerajui ummah, seluruh penduduk dalam masyarakat majmuk, silih berganti berada dalam pemerintahan Islam dalam keadaan aman damai sepanjang hayat.

Sehinggalah ke awal kurun ke-20, atau lebih khusus sehingga kejatuhan pemerintahan Othmaniyyah Turki pada tahun 1924, Mustafa Kamal Ataturk mengubah pemerintahan kepada dasar sekular.

Bagi orang yang faham ilmu politik dan memahami hukum Islam, tentulah akan mengetahui kaitannya dengan dosa pahala.

Dalam amalan kehidupan, Allah memerintah manusia melakukan kebaikan (makruf) akan diberikan pahala, manakala yang melakukan kejahatan (mungkar) akan memperolehi dosa.

Membuat kebaikan walaupun seperti membuang seketul batu dijalan yang menghalang laluan orang ramai, nampaknya enteng tidak ada apa-apa, namun jika ia dibuat kerana Allah, ia adalah salah satu cabang iman yang akan diberikan pahala yang besar.

Begitu juga menegur atau menasihati orang supaya tidak melakukan sesuatu yang tidak baik dan mengalakkannya berbuat baik, sudah mendapat pahala yang besar.

Inikan pula kerja mengundi dan bekerja dalam pilihan raya dengan tenaga dan wang yang banyak. Mengundi adalah kerja besar.

Dengan mengundi, kita boleh menukar kerajaan yang melakukan kemungkaran kepada sebuah kerajaan yang baru.

Sekiranya yang dijatuhkan itu adalah sebuah kerajaan yang tidak Islam, ditukar kepada kerajaan yang mendaulatkan Islam, bayangkan betapa banyaknya ganjaran yang akan diperolehi.

Bagaimana hendak dinafikan mengundi tidak ada kena mengena dengan dosa dan pahala, sedangkan ianya tidak terkeluar daripada 'irradatul insan' (tindakan manusia).

Amal manusia sekecil mana pun akan diberi balasan. Insan yang berniat melakukan sesuatu kebaikan, sudahpun dianugerahkan satu pahala. Melaksanakan niat itu, dibalas Allah dengan 10 pahala.

Ada hadis yang diriwayatkan oleh Umar al-Khattab (mafhumnya): "Sesungguhnya segala perbuatan itu bergantung dengan niat, seseorang itu akan dianugerahkan pahala mengikut niatnya."

Apakah niat saudara ketika mengundi? Tidak masuk akal jika saudara tidak ada niat.

Jika niat saudara mengundi seseorang calon bagi mendapat habuan di dunia, saudara akan memperolehi habuan tersebut.

Jika saudara berniat untuk mendapat habuan di akhirat, saudara akan mendapat habuan di akhirat.

Allah berfirman (mafhumnya): "Sesiapa yang mengkehendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah pada akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang mengkehendaki kebaikan di dunia semata-mata, Kami akan berikannya kebaikan di dunia, dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak." (Surah as-Syura, ayat 20)

Ayat ini, dan banyak lagi ayat yang seumpama dengannya, meletakkan suatu gagasan yang nyata bahawa amal-amal manusia akan dibalas Allah di atas kebaikan atau keburukannya.

Allah SWT memerintah kita, dalam suatu ayat yang mahsyur (mafhumnya); "Dan bertolong-tolonglah kamu dalam perkara menegakkan yang makruf dan jangan bertolong tolongan dalam menegakkan kemungkaran."

Menegakkan yang baik akan diberi pahala, menolong melakukan sesuatu yang jahat akan dibalas dengan dosa.

Atas itulah maka, apa yang kita lihat dalam kerja-kerja mengundi, adalah suatu pekerjaan yang besar, pasti akan diberi Allah SWT ganjaran, setimpal dengan apa yang kita niatkan. Wallahu a'lam. - lanh _


Sumber : harakahdaily.net

0 comments:

  © Blogger template 'Solitude' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP